fanatik agama musuh islam

Banyak peristiwa, pandangan dan pemikiran semasa membabitkan Islam dan Muslim menimbulkan kontroversi, sekaligus menyebabkan kekeliruan, khususnya bagi umat Islam yang mahu bersederhana dan bertoleransi.

Bagaimana kita boleh melalui lorong kekeliruan dalam kontroversi-kontroversi moden ini? Jika kita melihat beberapa insiden dalam sejarah awal Islam, kita boleh mendapat idea mengenai sesetengah garis panduan yang perlu diikuti, agar berada di ‘jalan yang lurus.’

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, sekumpulan sahabat keluar menyertai satu ekspedisi. Dalam peperangan itu, salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan parah di kepalanya.

Dalam perjalanan pulang, pada suatu pagi sahabat itu bangun pagi dalam keadaan janabah. Maka timbullah persoalan sama ada dia perlu mengangkat hadas besar (ghusul) sedangkan kepalanya luka, dan cuaca pula sejuk. Salah seorang sahabat menyatakan, di dalam al-Quran jelas memerintahkan ghusul dan tidak ada keringanan dalam hal itu.

Maka sahabat itu pun mengangkat hadas besar dengan mandi. Akibatnya, keadaannya menjadi bertambah buruk dan akhirnya meninggal dunia.

Apabila Rasulullah s.a.w mendengar mengenai kejadian ini, Baginda s.a.w. bersabda,

“Mereka telah membunuhnya. Semoga Allah melaknat mereka.” 

Baginda s.a.w berasa amat marah kerana para sahabat itu memberi fatwa yang salah sehingga menyebabkan kematian. Kemudian Baginda s.a.w bersabda,

“Mengapa mereka tidak meminta fatwa daripada seorang yang lebih berilmu. Sesungguhnya penawar kejahilan ialah bertanya soalan.”

Hadis ini memberitahu kita, peri berbahayanya keghairahan melampau (over zealousness) dan fanatik agama, yang sangat banyak berlaku dalam sesetengah segmen ummah pada hari ini. Mereka menjadikan Islam agama yang susah sehingga tidak ada sesiapa boleh hidup sebegitu dalam realiti.

Percayalah, mereka yang terlalu ghairah dan fanatik tidak kekal lama dalam ‘perjuangan’. Mereka akan berubah sepenuhnya kerana tidak dapat mengekalkan cara hidup berdasarkan fanatisme agama, segalanya menjadi susah atau haram.

Begitulah dengan cerita sahabat di atas. Mereka menyangka pandangan mereka benar kerana jelas terdapat di dalam al-Quran bahawa,

Dan jika kalian junub, maka bersucilah (mandilah).” (Al-Maaidah: 6)

Mereka tidak sedar bahawa setiap hukum ada pengecualian, setiap ayat ada klausa yang memberi kelonggaran, setiap yang umum ada perincian, dan dalam perincian ada yang umum. Akibat terlalu ghairah untuk mengikut al-Quran, menjadi lebih Islamik atau mematuhi tradisi Islam, mereka akhirnya melanggar perintah dan ajaran Islam yang sebenar.

Pada zaman Umar r.a. pula, seorang sahabat yang terkenal dengan amal kebajikan tetapi kurang ilmunya, telah mengambil sepotong ayat al-Quran secara literal, dan menyatakan al-Quran membenarkan minum arak.

Jangan mengambil ayat al-Quran dan menghukum tanpa melihat kepada keseluruhan ayat.

“Tidak ada dosa bagi orang- orang yang beriman dan mengerjakan amalan yang salih karena memakan makanan yang telah mereka makan dahulu, apabila mereka bertakwa serta beriman, dan mengerjakan amalan- amalan yang salih, kemudian mereka tetap bertakwa dan beriman, kemudian mereka (tetap juga) bertakwa dan berbuat kebajikan. Dan Allah menyukai orang- orang yang berbuat kebajikan.”

Ayat 93 surah al-Maaidah ini digunakannya untuk menafikan ayat-ayat lain, hadis-hadis Nabi s.a.w dan persefahaman para sahabat. Tidak ada sesiapa yang sependapat dengan interpretasinya. Apabila sabahat itu dibawa kepada Umar r.a. dalam keadaan mabuk, dia menggunakan ayat ini sebagai hujah. Bagaimanapun khalifah itu tidak menerimanya dan menghukumnya kerana kesalahan meminum arak.

Interpretasinya tidak tepat dan bukan dalam spektrum yang boleh diterima oleh Islam. Walaupun dia membawa ayat al-Quran sebagai hujah, tetapi metodologi atau usul yang digunakan untuk mengeluarkan hukum tidak dapat diterima.

Peristiwa ini menunjukkan, sejak awal lagi sudah wujud ultra fanatisme dan ultra liberalisme. Sungguhpun begitu mereka ialah golongan-golongan serpihan yang kecil. Majoriti ummah, ulama Islam selalunya berada di antara kedua-dua ekstrem ini.

Salah satu cara paling berkesan untuk mengatasi masalah dan kontroversi zaman ini ialah dengan tidak mengambil endah pandangan-pandangan ekstremis kedua-dua pihak itu. Sebaliknya, berikan tumpuan kepada majoriti ummah dan hanya berpandukan kepada majlis fatwa. Ini seeloknya kerana ia mewakili suara ummah setelah diambil kira dengan timbang taranya. Wallahu a’lam

________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare