KISAH manusia yang mempunyai ketinggian luar biasa di luar batas normal sudah muncul sejak zaman dahulu lagi. Ketika itu, mereka yang mempunyai ketinggian tidak normal ini sering dijadikan sebagai salah satu ‘objek’ untuk persembahan seperti sarkas, dan itu salah satu cara mereka untuk menyara kehidupan.

Ada ramai manusia yang pernah dicatatkan mempunyai ketinggian aneh. Berikut kami bawakan tiga lelaki yang mempunyai ketinggian luar biasa pernah direkodkan.

ROBERT WADLOW

Dilahirkan pada 22 Februari 1918 di Illinois, Amerika Syarikat, Robert digelar ‘Giant of Illinois’ di kalangan masyarakat tempatan. Anak sulung dari lima beradik ini dikesan mempunyai kelainan sewaktu berusia beberapa bulan.

Robert atau nama sebenarnya Robert Pershing Wadlow dikesan menghidap gigantisme, sejenis penyakit genetik yang jarang berlaku. Penyakit ini disebabkan penghasilan hormon tumbesaran yang berlebihan berbanding orang biasa.

Bayangkan, ketika baru berusia 11 bulan, ketinggian Robert sudah mencecah 106 sentimeter. Sewaktu berusia 6 tahun, ketinggiannya sudah mencapai 200 sentimeter, lebih tinggi daripada kedua orang tuanya.

Robert Wadlow.
Ketinggian Robert luar biasa.

Sewaktu memasuki alam persekolahan, Robert disediakan meja khas kerana saiz badannya yang besar. Ketika dia tamat zaman persekolahan, ketinggiannya sudah mencecah 2.55 meter.

Robert dikenali sebagai manusia paling tinggi di dunia pernah direkodkan. Dia terpaksa mengggunakan alat bantuan khas untuk berjalan.

Sayangnya, usia Robert tidak panjang. Dia meninggal dunia pada tahun 1940 sewaktu usianya baru 22 tahun kerana jangkitan pararasit. Sebelum kematiannya, ketinggian Robert diukur dengan tingginya mencecah 2.72 meter. Beratnya 223 kilogram, manakala saiz kasutnya ialah 37AA, iaitu kasut manusia yang paling besar di dunia.

Keranda sepanjang tiga meter seberat 500 kilogram ditempah bagi menyempurnakan mayat lelaki tertinggi di dunia yang pernah dicatatkan ini.

ANGUS MACASKILL

Lelaki kelahiran Kanada ini pernah memasuki carta rekod Guinness pada tahun 1981 sebagai lelaki tertinggi dengan ketinggian 2.36 meter. Angus dilahirkan pada 1825 di Scotland.

Pada awalnya, Angus membesar dengan normal seperti kanak-kanak lain. Namun setelah mencapai usia baligh, tiba-tiba saja tumbesarannya berlaku dengan pantas. Ketika berusia 24 tahun, tigginya sudah mencecah 2.36 meter.

Ketika usia dewasa, Angus dicatatkan mempunyai berat mencecah 230 kilogram. Dia mempunyai tangan selebar 20 sentimeter dan memakai kasut yang panjangnya 44 sentimeter.

Angus Macaskill
Patung Angus yang dipamerkan di sebuah muzium di Scotland.

Bukan saja tinggi, Angus juga dikenali kerana kekuatannya. Malah, dia mampu mengangkat sauh kapal yang beratnya 1300 kilogram seorang diri.

Angus bekerja dengan P.T Barnum, sebuah syarikat sarkas dengan sering melakukan tour pada pertengahan tahun 1950-an. Ketika itu, dia sering melakukan persembahan dengan muncul bersama Tom Thumb, seorang manusia kerdil yang tinggianya hanya 102 sentimeter.

Pada tahun 1856, Angus mengalami kemalangan sewaktu sedang melakukan pertunjukan mengangkat sauh kapal. Insiden itu menyebabkan bahunya cedera teruk, sekaligus menamatkan kerjayanya dalam sarkas. Angus meninggal pada Ogos 1863 selepas seminggu jatuh sakit.

John Rogan

Lahir di Tenessee, Amerika Syarikat pada 1867, John Rogan merupakan anak keempat dari 12 beradik. Awalnya, John membesar normal seperti bayi yang lain. Tetapi ketika berusia 13 tahun, dia membesar begitu cepat kerana penyakit gigantisme.

Pada tahun 1882, dia sudah tidak mampu berdiri dan berjalan kerana diserang penyakit ankylosis yang menyebabkan keradangan tulang. John hanya menjual poskad di stesen kereta api untuk menyara hidupnya.

Lelaki ini dicatatkan sebagai manusia kedua tertinggi di dunia dan orang berkulit hitam pertama tertinggi pernah direkodkan. Ketinggiannya mencecah 2.67 meter dengan berat sekitar 89 kilogram.

John meninggal pada September 1905. Beratnya sewaktu kematiannya hanya 43 kilogram dan digelar sebagai ‘rangka hidup’.

John Rogan, lelaki berkulit hitam pertama tercatat sebagai manusia tinggi.

__________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/