Tengku Datuk Seri Zafrul semasa mengumumkan pembayaran pengeluaran khas KWSP mulai esok.

PEMBAYARAN pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 diawalkan bermula esok berbanding tarikh sepatutnya, 20 April ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pemohon yang membuat permohonan pengeluaran pada awal April lalu boleh mula menyemak akaun bank mereka mulai esok.

Menurutnya, mereka yang tidak menerima bayaran esok tidak perlu bimbang kerana pembayaran akan dibuat secara berperingkat.

“Semoga bantuan ini dapat membuatkan sambutan Aidilfitri tuan puan lebih bermakna tahun ini. Insya-Allah,” katanya dalam satu kenyataan video di Facebook beliau malam ini.

Dalam status itu, Tengku Zafrul berkata, beliau menerima banyak mesej dan komen di media sosial yang meminta pembayaran pengeluaran khas KWSP dipercepatkan.

Ujarnya, beliau mendengar rayuan itu dan berbincang dengan KWSP berhubung perkara tersebut.

Semalam, KWSP dalam kenyataan berkata, sebanyak 5.3 juta permohonan untuk kemudahan Pengeluaran Khas diterima sejak dibuka pada 1 April hingga Khamis lalu.

Ia membabitkan amaun pengeluaran berjumlah RM40.1 bilion.

Jumlah permohonan itu merangkumi 44 peratus daripada 11.95 juta ahli yang layak membuat pengeluaran dan pembayaran akan dibuat secara berperingkat.

Tarikh tutup bagi kemudahan Pengeluaran Khas adalah pada 30 April 2022 dan ahli boleh memohon melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my.

Kerajaan baru-baru ini membenarkan ahli KWSP di bawah usia 55 membuat pengeluaran dana persaraan mereka sebanyak RM10,000 buat kali terakhir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 16 Mac lepas dalam satu sidang media khas berkata keputusan itu dibuat berdasarkan hasil kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam kalangan rakyat yang masih terkesan dari segi ekonomi, kehilangan pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik COVID-19 melanda negara dua tahun lepas.