KERAJAAN bersedia memberi kelulusan segera untuk perkhidmatan penerbangan sewa khas ke Malaysia bagi menarik kedatangan pelancong. GAMBAR HIASAN: Abd Razak Aid

SUDAH dua tahun tidak berhari raya bersama keluarga dan teman-teman di kampung halaman tercinta lantaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Justeru kedatangan Aidilfitri tahun ini dinanti dengan penuh teruja oleh warga kota khususnya, yang rindu meraikan lebaran di desa.

Bukan semua mempunyai pengangkutan sendiri untuk balik kampung. Masih ramai yang bergantung kepada pengangkutan awam. Warga Sabah dan Sarawak misalnya tiada pilihan selain bergantung kepada pengangkutan udara.

Namun seperti dilapor media, banyak pihak meluahkan rintihan dan rasa kesal berhubung dua isu utama. Pertama ongkos untuk pulang ke kampung tahun ini mahal berikutan kenaikan harga tiket. Kedua, tiket cepat habis.

Kenaikan harga tiket atau tambang pengangkutan awam begitu ketara. Tiket penerbangan domestik naik, dengan tiket ke Sabah dan Sarawak dilaporkan naik sehingga 500 peratus. Ini menimbulkan rasa tidak senang hati bukan sahaja di kalangan orang ramai, bahkan para pemimpin kedua-dua negeri itu.

Tiket bas ekspres pula dilaporkan naik antara RM5 hingga RM15 bagi semua perjalanan dalam Semenanjung menjelang Aidilfitri. Tentunya ini satu kenaikan tinggi yang membebankan.

Memetik seorang pelajar universiti awam di Puncak Perdana, biasanya harga tiket bagi perjalanan dari kampus ke rumahnya di Kuala Rompin, Pahang hanya RM33 sahaja. Namun untuk Aidilfitri tambang meningkat kepada RM40, bererti kenaikan RM7.

Ini sekadar satu contoh. Tidaklah diketahui mengenai kadar kenaikan bagi perjalanan ke destinasi lain, atau sama ada semua syarikat bas sepakat mengenakan kenaikan seragam, atau menurut budi bicara syarikat masing-masing.

Satu lagi pilihan ialah menggunakan Perkhidmatan Tren Elektrik, popular dengan nama ETS, milik Keretapi Tanah Melayu (KTM). Sehingga ini belum ada makluman mengenai kenaikan tambang tren. Namun yang kerap terdengar ialah tiket tren cepat habis.

BERITA BERKAITAN Naikkan harga tiket: Syarikat penerbangan ‘hisap darah’ rakyat – Bung Mokhtar

Tren sekarang menjadi pilihan ramai kerana perkhidmatan yang cepat dan selesa. Bukan lagi Ekspres Rakyat, Senandung Malam dan sebagainya yang berhenti di semua stesen.

Semua tempat duduk ETS bernombor, bukan seperti kereta api tahun 60-an dan 70-an asal muat, tambah kelas tiga. Hingga ada yang tidur di laluan antara barisan kerusi atau menggantung buaian pada palang bumbung untuk tidurkan anak.

Dalam situasi keinginan balik kampung tetapi berdepan degan kenaikan harga tiket, hanya ada dua pilihan, sama ada tidak balik atau bersedia mengeluarkan belanja lebih untuk bersama kaum keluarga di desa.

Setelah dua tahun berhari raya berjauhan, keinginan kembali ke kampung halaman tentu lebih membara. Mahu tidak mahu beli tiket. Kena cepat beli, jika lewat tiket habis. Kalau habis, masalah juga untuk balik, kecuali pandai mencari ikhtiar lain.

Kenapa syarikat pengangkutan harus menaikkan tambang ketika orang ramai sedang gembira untuk berhari raya di kampung selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian?

Adakah syarikat pengangkutan awam mahu mengambil kesempatan daripada keghairahan orang ramai balik kampung dan menggunakan kesempatan mengutip hasil lebih untuk menutup kerugian yang ditanggung sebelum ini? Maklum sudah ‘tersadai’ begitu lama kerana PKP.

Namun wajar diingat, orang ramai juga melalui saat sukar ketika PKP. Ramai hilang kerja dan sumber pendapatan apabila sektor ekonomi ditutup. Baru kini hendak kembali mula bernafas setelah ekonomi mula rancak pasca PKP.

Mereka juga menghadapi beban kenaikan barang asas harian seperti ayam telur, ikan, tepung gandum, roti dan lain-lain. Sudah terbeban begini, hendak balik kampung pun terpaksa menanggung beban. Tentulah beban ini lebih berat dirasakan oleh mereka yang berkeluarga besar.

Bagi pelajar pula, kenaikan tambang adalah beban berat. Ramai hanya bergantung kepada duit Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Nampaknya perlu juga meminta bantuan daripada ibu bapa atau adik beradik di desa untuk ongkos pulang.

Pihak berwajib seperti Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehawal Pengguna (KPDNHEP) perlu bertindak mengatasi masalah ini. Adakah syarikat pengangkutan awam ini diberi kebenaran menaikkan harga tiket, atau ia keputusan sendiri?

Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, telah pun menyatakan akan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan bagi mencari penyelesaian isu kenaikan harga tiket kapal terbang dan bas ekspres.

Menurut laporan terkini sehingga ini, selepas Kementerian Pengangkutan mengarahkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menyiasat kenaikan tiket kapal terbang, harga tiket turun mendadak, terutama tiket ke Sabah, dengan purata kurang daripada RM1,000 sehala.

Ini tindakan pantas yang kita mahu. Selepas ini bolehlah pihak kementerian menyiasat kenaikan harga tiket bas.

Ingatlah kebanyakan mereka yang menggunakan pengangkutan awam, khususnya bas atau tren di Semenanjung, ialah golongan berpendapatan rendah atau sederhana. Kasihani dan bantu mereka atas semangat ‘Keluarga Malaysia’.

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!

Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram