PADA zaman dahulu, manusia percaya bahawa bumi adalah pusat alam semesta. Matahari dan bulan pula adalah objek bergerak yang mengelilingi bumi untuk mewujudkan suasana siang dan malam.
Pada ketika itu, kebanyakan ahli astronomi kuno percaya bahawa bumi adalah statik – tidak berputar dan tidak bergerak. Sebaliknya matahari, bulan dan planet-planet lain yang bergerak mengelilingi bumi. Fahaman tersebut diistilahkan sebagai sistem Geosentris.
Bagaimanapun, pada abad ke-3 SM, seorang ahli astronomi bernama Aristarchus telah menyatakan bahawa bumi bukanlah pusat alam semesta. Sebaliknya beliau berpendapat bumi ini berputar dan bergerak mengelilingi matahari yang merupakan pusat gerak langit. Namun sayangnya teori tersebut tidak mendapat perhatian pada zaman itu.
Konsep geosentris lebih diterima masyarakat zaman itu. Dalam tempoh lebih 15 abad, tiada seorang pun ahli astronomi yang tampil dengan hukum-hukum lain atau menafikan konsep berkenaan.

Namun pada tahun 1512, seorang ahli astronomi Itali, Nicolaus Copernicus mengemukakan teori baru bahawa planet dan bintang bergerak mengelilingi matahari dengan orbit lingkaran.
Teori itu disokong oleh Johannes Kepler, seorang ahli astronomi dan astrologi Jerman pada tahun 1609 yang menyebut bahawa matahari adalah pusat sistem tata suria.
Pada tahun yang sama juga, Galileo Galilei telah mencipta teleskop pertama di dunia dan mengesahkan teori itu melalui pengamatannya.
Dalam dunia moden hari ini, sains menjelaskan bahawa matahari adalah sejenis bintang yang menjadi pusat sistem tata suria. Bahkan, saintis juga mendapati, matahari bukan sekadar berputar, malah ia turut bergerak di laluan orbitnya yang tersendiri.
Sebelum manusia memahami konsep peredaran planet dan bintang ini secara menyeluruh, Allah S.W.T telah pun menerangkan mengenai sifat-sifat objek langit seperti bulan dan matahari di dalam Al-Quran. Wahyu yang diturunkan melalui beberapa surah ini memberi penekanan bahawa setiap satunya mempunyai laluan orbit yang tertentu.
Firman Allah yang bermaksud: “Dia yang menjadikan malam dan siang, matahari dan bulan, setiap mereka berenang di falak (tempat peredarannya).” (Surah Al-Anbiya; 33)
Dalam ayat yang lain turut dinyatakan bahawa matahari sebenarnya bukanlah suatu objek yang statik, tetapi ia bergerak dan mempunyai orbit yang tetap. Manakala orbit bulan pula dijelaskan dengan lebih spesifik lagi yang mana ia diumpamakan seperti bentuk tandan kurma yang telah tua.
Allah berfirman, mafhumnya; “Dan matahari beredar di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan Yang Maha Perkasa dan Maha Mengetahui. Dan bulan pula Kami tetapkan ia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kembali pula ke peringkat awalnya, (yakni berbentuk melengkung) seperti tandan (urjuun) kurma yang kering.” (Surah Yaasin :38–39).

Berdasarkan kepada kiraan, matahari bergerak dalam kelajuan yang besar iaitu 720,000 km sejam, mengarah ke bintang Vega melalui orbit di dalam sistem solar Apex. Ini bererti, matahari bergerak sejauh 17,280,000 km sehari.
Turut bergerak bersama-sama matahari pada jarak yang sama ialah semua planet dan satelit yang berada dalam lingkungan sistem graviti matahari – sistem solar. Dengan kata lain, bumi dan planet-planet yang sedang mengorbit matahari secara automatiknya akan mengikut pergerakan matahari yang mengorbit bintang Vega.
Bagaimanapun, orbit bulan pula sedikit berbeza. Ketika bumi mengelilingi matahari, bulan mengorbit bumi dengan laluan yang berpilin. Situasi ini menyebabkan jalur pergerakan bulan kelihatan melengkung seperti huruf ‘S’.
Perkara ini berlaku disebabkan oleh kedudukan bulan yang mengelilingi bumi dalam tempoh lebih kurang 27 hari. Kedudukan itu akan menempatkan bulan terkadang berada di belakang bumi dan sebahagian tempoh lagi berada di hadapan iaitu antara bumi dan matahari.
Jaluran melengkung yang dibentuk oleh orbit bulan telah dijelaskan di dalam Al-Quran dengan istilah ‘tandan kurma’ (urjuun) yang tua atau matang. Perbandingan tersebut adalah sesuatu yang signifikan kerana secara semula jadinya tandan kurma tua akan berubah menjadi lebih tipis dan berpilin. Perkara ini, sekalipun tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi ia dapat dibuktikan melalui perhitungan falak.

Dianggarkan terdapat lebih kurang 200 bilion galaksi dalam alam semesta ini, yang mana setiap satunya diperkirakan mempunyai 200 bilion bintang. Kebanyakan daripada bintang-bintang ini mempunyai planet, dan setiap planet pula mempunyai satelit semula jadi. Semua objek-objek ini bergerak mengikut orbit masing-masing. Untuk beberapa ratus juta tahun, kesemua objek ini ‘berenang’ melintasi orbit dalam keseimbangan dan susunan yang sempurna.
Sesuatu yang menakjubkan ialah ketika Allah menerangkan fakta ini di dalam Al-Quran, manusia belum lagi mencapai tahap kemodenan dalam bidang astronomi. Sudah pasti tiada ulasan saintifik yang mampu menyokong apa yang dinyatakan oleh Al-Quran pada ketika itu.
Bagaimanapun, pada kurun ke-20, penemuan saintifik mengenai pergerakan matahari ini akhirnya telah membuktikan bahawa apa yang dinyatakan dalam kalam Allah itu adalah tepat serta selari dengan sains. Sesungguhnya, Dialah yang Maha Mengetahui.

______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/

