SUKI Low Sook Yee atau lebih dikenali dengan nama Suki Low di dalam industri muzik tanah air kembali dengan single terbaharu berjudul Nelangsa.

Anak kelahiran Negeri Sembilan ini merupakan Juara program realiti terbitan 8TV iaitu One In A Million musim pertama. Ketika itu dia hanya berusia 16 tahun.

Kini, Suki kembali menyinari persada muzik tanah air dengan suaranya yang lunak menerusi Alternate Records & Talents dengan lagu solo. Lagu unik ini merupakan hasil ciptaan Farouk Roman dan lirik oleh Senna.

Nelangsa merupakan bahasa lama dari seberang, Indonesia, yang membawakan maksud sedih. Penulis liriknya, Senna sengaja memilih nama tersebut kerana ia unik dan sedap didengar.

“Saya sangat bersyukur apabila diberikan peluang untuk menyanyikan lagu ini kerana ianya adalah lagu single pertama yang saya rakam setelah lama tidak keluarkan lagu baru.

“Dan ini juga merupakan kali pertama saya menyanyikan lagu untuk sebuah OST filem. Ketika diberikan lagu dan liriknya, saya dengar dan terus menyukai melodinya serta lirik dan perkataan yang digunakan itu membuatkan saya jatuh cinta dengan keseluruhan lagu ini yang bersesuaian dengan filemnya.

“Nelangsa merupakan sebuah lagu yang mencabar sebab berat dari segi emosi. Dari segi vokal, saya menggunakan pendekatan yang berbeza berbanding dengan lagu-lagu yang pernah rakamkan sebelum ini.

“Saya berasa bertuah kerana dapat bekerjasama dengan penerbit dan juga komposer terkenal yang berpengalaman seperti Farouk Roman. Kami mempunyai visi yang sama untuk mempersembahkan lagu ini. Saya sangat teruja untuk kongsikan lagu ini dengan peminat yang selalu memberi sokongan kepada saya dan berharap mereka akan suka lagu Nelangsa ini,” katanya.

Malahan sesuai dengan konsep keseluruhan lirik dan mesej yang cuba disampaikan iaitu kesedihan dan kesengsaraan. 

Lagu Nelangsa itu turut dijadikan runut bunyi (OST) kepada sebuah filem terbaharu iaitu ‘The Assistant’ yang bakal ditayangkan pada bulan Mei depan.

Filem aksi ini dibintangi oleh pelakon popular berbadan sasa iaitu  Hairul Azreen dan Iedil Dzuhri. Lagu OST ini amat sesuai dengan penceritaan filem aksi lasak arahan pengarah terkenal Adrian Teh.

Filem ini dijangka menjadi filem “blockbuster” tempatan setelah pawagam mula dibuka di Malaysia.