Di mana tahap ibadah kita
Sekadar gambar hiasan

Sedar atau tidak, kita sekarang ini sudah pun melepasi separuh Ramadan. Bermakna tinggal separuh lagi Ramadan akan meninggalkan kita.

Sejauh ini, bagaimana ibadah kita dalam 15 hari ini? Adakah masih ditahap pemanasan enjin atau sudah bergerak lancar ke hadapan dengan pelbagai ibadah yang kita laksanakan?

Jika masih di tahap pemanasan enjin lagi, nampaknya ada sesuatu yang memberatkan kita dalam tempoh waktu ini.   

Walaupun apa yang Allah sajikan kepada kita dalam bulan Ramadan amat menarik, namun pendorong sebenar adalah niat kita.

Sekiranya kita mempunyai niat yang cekal dan yakin, pasti kita akan bergegas dan bersungguh-sungguh merebut sajian itu.

Akan tetapi, sekiranya niat kita lemah dan ada keraguan, kita tidak akan dapat berbuat apa-apa tindakan untuk merebut sajian itu, bahkan mungkin sahaja selera kita terhadap sajian itu hilang ditelan hawa nafsu.

Melihat kepada puasa wajib di bulan Ramadan, kita diajar bahawa berniat untuk melaksanakannya perlu dilakukan pada waktu malam, sebelum masuk waktu subuh. Sabda Rasulullah s.a.w.,

“Siapa yang tidak meniatkan puasa pada waktu malam sebelum fajar, maka tiada puasa baginya.”  HR al-Imam an-Nasa’i

Tempat niat adalah dalam hati (jantung) iaitu dengan menggerakkan dalam hati bahawa seseorang itu ingin melakukan sesuatu amalan ketaatan.

Al-Imam Ibnu Hajar rahimahullah dalam kitabnya Fathul Bari, menukilkan bahawa al-Imam an-Nawawi rahimahullah telah berkata,

“Dan niat itu ialah tujuan (al-Qasd), dan ia adalah keazaman hati.”

Rasulullah s.a.w. telah menjelaskan kepada kita bahawa kekuatan niat adalah penentu kepada kejayaan kita seharian. Baginda s.a.w. bersabda,

“Ketahuilah bahawa dalam badan itu ada satu ketulan daging, jika ianya salih maka salihlah sekalian badan, jika ianya rosak maka rosaklah sekalian badan. Ianya adalah hati (jantung).”  HR al-Imam al-Bukhari,

Niat di dalam hati mendorong diri untuk menambahkan ibadah kepada Allah

Ini semua merupakan petunjuk bahawa bulan Ramadan adalah bulan yang paling mulia; mendidik jiwa mukmin agar sabar dan yakin.

Inilah rumusan kejayaan Muslim untuk menghadapi hawa nafsu dan pemikiran sesat yang dibawa oleh musuh Islam. Ini bertepatan dengan firman Allah Ta‘ala dalam Surah as-Sajdah ayat 24,

“Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami selama mereka bersikap sabar serta tetap yakin akan ayat-ayat Kami.”  

Berdasarkan ayat inilah, al-Imam Ahmad bin Abdul Halim al-Harrani rahimahullah berkata,

“Dengan kesabaran dan keyakinan, diperolehi kepimpinan dalam agama.”

Ayuhlah kita berusaha untuk mencapai kesabaran dan keyakinan. Walaupun kita tidak dapat menjadi pemimpin dalam agama, memadailah kita berusaha untuk sentiasa meneguhkan agama kita dengan kesabaran yang dapat mengatasi hawa nafsu dan keyakinan yang dapat menangani penyelewengan dan kesesatan.

Mulakanlah dengan niat yang ikhlas, diikuti ikutan terhadap sunah Rasulullah s.a.w. Wallahu a’lam

_________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare