Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin GAMBAR: Abd Razak Aid

WARGA emas berisiko tinggi telah boleh mula mendapatkan suntikan dos penggalak kedua bagi menambah lagi perlindungan terhadap virus COVID-19.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan, tiada paksaan dikenakan kepada warga emas berisiko tinggi yang mahu mengambil dos penggalak kedua itu.

Dalam rakaman video berdurasi 2 minit 20 saat ke akaun Twitter dan TikTok beliau, Khairy berkata, individu terlibat diberikan pilihan sama ada untuk mengambilnya atau pun tidak.

“Ini pilihan ya, Kementerian Kesihatan (KKM) hanya mengesyorkan sahaja. Jangan kata saya paksa la, Dajjal atau Kajjal. Apa sahaja.

“Saya cuma nak pastikan warga emas kita mendapat perlindungan yang terbaik terutama sebelum anda semua pulang ke kampung beramai-ramai nanti,” katanya dalam video tersebut hari ini.

Selain itu, Khairy turut memaklumkan, penerima vaksin jenis Sinovac dan Sinopharm yang mahu mengembara ke negara-negara yang tidak mengiktiraf vaksin berkenaan juga boleh mendapatkan dos penggalak kedua.

Baca artikel berkaitan: Omicron masih ‘penyakit’ yang serius – Khairy

Menurut beliau, penerima itu boleh membuat permohonan di aplikasi MySejahtera atau datang terus ke pusat pemberian vaksin (PPV) yang masih beroperasi.

“Penerima vaksin Sinovac atau Sinopharm yang nak ke negara-negara yang tak iktiraf vaksin tersebut boleh juga minta untuk dos penggalak kedua, sebagai contoh Pfizer-Pfizer.

“Anda boleh memohon melalui MySejahtera atau datang terus ke PPV yang masih beroperasi, maklumat lanjut PPV boleh dilayari di laman sesawang www.protecthealth.com.my,” jelas beliau.

Bagi remaja yang mempunyai sistem imun yang lemah, Khairy berkata, golongan itu juga kini boleh menerima dos penggalak.

“Sila semak dengan doktor anda untuk maklumat mengenai dos penggalak, ini penting kerana terdapat sedikit peningkatan kes dalam kalangan remaja.

“Jadi, untuk kumpulan remaja ini, bolehlah ambil dos penggalak untuk kekal selamat,” katanya.

Khairy turut memaklumkan, perkembangan terbaharu mengenai sambutan Aidilfitri termasuk beberapa pengumuman lain akan dimaklumkan minggu hadapan.

Beliau berkata, KKM juga telah mula menggunakan ubat antiviral Paxlovid sebagai terapeutik untuk merawat pesakit COVID-19 yang berisiko tinggi bagi melindungi pesakit berkenaan daripada gejala serius.

Katanya, antiviral tersebut bertujuan merawat pesakit dan bukannya sebagai pengganti vaksin serta memaklumkan KKM akan membeli lebih banyak ubat rawatan itu.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram