TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, esok.

Dalam ciapan di akaun Twitter rasminya, Tunku Ismail memaklumkan pertemuan itu adalah untuk membincangkan mengenai kes penderaan remaja orang kurang upaya (OKU) sindrom down yang dikenali sebagai Bella.

Tunku Ismail turut memberitahu akan mendapatkan taklimat terkini mengenai langkah yang telah diambil Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

“Esok saya akan berjumpa dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (Rina) untuk membincangkan isu kes Bella.

“Mendapatkan taklimat terkini mengenai langkah-langkah yang telah diambil oleh KPWKM untuk memastikan kes sebegini tidak akan berlaku lagi,” katanya dalam ciapan tersebut hari ini.

Semalam, TMJ menawarkan khidmat peguamnya secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati bagi kes penderaan Bella.

Baca artikel berkaitan: TMJ, isteri turut bersimpati dengan nasib Bella, tawar khidmat peguam pemerhati

Tunku Ismail berkata, kes pendakwaan pada ketika ini membabitkan dua pihak iaitu pendakwa raya kerajaan bagi pihak kerajaan/awam dan peguambela yang dilantik untuk mewakili tertuduh (OKT).

Terdahulu, nasib malang menimpa Bella, 13, turut mendapati perhatian isteri TMJ, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam.

Khaleeda menerusi perkongsian dalam akaun Twitter menyatakan, akan berusaha bagi menuntut keadilan bagi Bella.

Remaja berkenaan yang ketiadaan ibu dan bapa sejak ditemui dan dijadikan anak angkat di Rumah Bonda, sebuah rumah kebajikan di Wangsa Maju yang diasas Siti Bainun.

Siti Bainun didakwa atas dua pertuduhan iaitu mengabaikan dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram