UMAT Islam perlu menggunakan peluang menghayati dan mengambil iktibar daripada peristiwa Nuzul al-Quran di samping memanfaatkannya dalam kehidupan seharian.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tahun ini sungguh beruntung kerana dapat semula melaksanakan pelbagai aktiviti berkaitan sambutan Nuzul al-Quran sebagaimana biasa di masjid atau surau.
Menurut beliau, itu semua merupakan hasil tindakan pantas dan drastik kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini yang telah memperkenalkan program imunisasi besar-besaran kepada rakyat.
Muhyiddin memaklumkan, keadaan itu telah membolehkan seluruh sektor kehidupan dibuka sepenuhnya seperti sediakala.
“Alhamdulillah, saya difahamkan hampir kesemua masjid dan surau di negara ini menganjurkan majlis tadarus dan tadabur serta khatam al-Quran secara beramai-ramai.
“Keadaan ini berbeza ketika negara berada dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 dua tahun lalu yang mana semua majlis sedemikian hanya boleh diadakan di rumah masing-masing sahaja,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Tinta Syurga, dokumentari istimewa sempena Nuzul Quran
Beliau berkata demikian dalam hantaran sempena Nuzul al-Quran di Facebook miliknya, semalam.
Justeru, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mengajak umat Islam menggunakan peluang melipatgandakan amalan yang dituntut seperti solat fardu berjemaah, solat tarawih, qiamullail di masjid atau surau serta bersedekah kepada golongan memerlukan.
“Sesungguhnya, amalan ini sangat dituntut dan dijanjikan ganjaran besar oleh Allah SWT.
“Semoga kita memperoleh keberkatan daripadanya. Saya juga berdoa semoga kita diberi kesihatan dan dipermudahkan Allah untuk menunaikan ibadah sepanjang Ramadan ini, Insya-Allah,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram