NUZUL al-Quran merupakan peristiwa di mana turunnya ayat al-Quran pertama kepada Nabi Muhammad S.A.W secara berperingkat sehingga menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang kita baca pada hari ini.

Peristiwa Nuzul al-Quran ini berlaku pada malam Jumaat 17 Ramadan, tahun ke-41 keputeraan Nabi Muhammad. Perkataan ‘nuzul’ bermaksud turun atau berpindah dari atas ke bawah.

Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad ialah lima ayat pertama surah al-Alaq, melalui perantaran Malaikat Jibril.

Al-Quran adalah mukjizat ilmu dalam segala perkara, malah turut diakui oleh mereka yang ahli dalam segala lapangan sama ada ilmuwan agama mahupun ilmuwan dunia.

Berikut antara kelebihan membaca al-Quran.

1.MENJADI SYAFAAT Di AKHIRAT

Daripada Abu Umamah r.a. Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.” (HR Muslim)

2.SEBAIK-BAIK AMALAN ADALAH ORANG YANG BELAJAR & MENGAJAR AL-QURAN

Daripada Usman bin Affan r.a. telah berkata Rasulullah s.a.w. “Sebaik manusia di antara kamu orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain.” (HR Bukhari)

3.ALLAH ANGKAT MARTABATNYA

Daripada Umar al-Khattab r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab al-Quran.” (HR Muslim)

4.MENDAPAT KETENANGAN HIDUP

Daripada Barra bin ‘Azib r.a. – “Seorang lelaki membaca surah al-Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya dan semakin hampir dan kudanya mula menjauhinya. Apabila menjelang pagi beliau pergi berjumpa Nabi Muhammad s.a.w.  dan menceritakan peristiwa tersebut. Maka Baginda s.a.w. bersabda, “itulah sakinah (ketenangan) yang turun disebabkan bacaan al-Quran.” (HR Bukhari)

5.UMPAMA RUMAH YANG KOSONG

Daripada Ibnu Abbas r.a. dari Rasulullah s.a.w. bersabda : “Orang yang tiada di dalam dadanya sepotong pun ayat al-Quran adalah ibarat seperti rumah yang ditinggalkan kosong.” (HR Tirmizi)

6.MEMBACA AL-QURAN BEBERAPA AYAT LEBIH BAIK DARI MENDAPAT UNTA YANG GEMUK

Dari Rasulullah s.a.w. : “Kenapakah kamu tidak pergi ke masjid belajar atau membaca dua ayat al-Quran lebih baik dari dua ekor unta, tiga ayat lebih baik dari tiga ekor, empat ayat lebih baik dari empat ekor, demikianlah seterusnya mengikut bilangan ayatnya.” (HR Muslim)

Rasullullah s.a.w. membuat perbandingan dengan unta yang gemuk kerana unta adalah haiwan ternakan yang dianggap mewah ketika itu. Baginda menyifatkan membaca al-Quran lebih berharga daripada unta.

7.IBU BAPANYA DIBERIKAN SEBAIK-BAIK PERHIASAN DI SYURGA

Dari Buraidah al-Aslamiy r.a. bahawa Baginda s.a.w. bersabda : “Akan dipakaikan dikepalanya mahkota dan kedua ibu bapanya akan diberi perhiasan yang tidak boleh dinilai oleh penduduk dunia.

Lalu mereka bertanya, “mengapa kami diberi perhiasan seperti ini?” Allah menjawab, “kerana anak kamu mempelajari al-Quran.” Kemudian dikatakan kepadanya, “bacalah dan naiklah ke tingkat syurga dan bilik-biliknya.” Dia akan terus naik selama mana dia membaca (al-Quran),” (HR Ahmad)

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab)” – (Surah Ad-Dukhaan : 3)

Salam Nuzul Quran buat pembaca Islam sekalian.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/