malam al-Qadr gandaan pahala

Sedar atau tidak, kita sudah berada di pertengahan  bulan yang paling mulia, bulan Ramadan. Kemuliaan bulan Ramadan ini digambarkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya,

“Allah berfirman, Setiap amalan anak Adam adalah untuk dirinya kecuali puasa, ianya adalah untuk-Ku dan Akulah yang akan memberi ganjarannya.” HR al-Imam Bukhari

Gandaan pahala adalah satu perkara yang amat penting bagi umat Islam akhir zaman ini kerana umur mereka amatlah sedikit berbanding dengan umat-umat terdahulu.

Namun, perlulah ditekankan bahawa gandaan pahala dalam berpuasa di bulan yang paling mulia ini memerlukan kesungguhan dan semangat yang tinggi.

Perkara ini juga telah diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang sama, sabdanya,

Puasa adalah perisai. Jika tiba hari puasa salah seorang daripada kamu, janganlah dia bercakap lucah (atau berjimak) dan janganlah dia mengangkat suaranya. Jika ada orang yang mencacinya atau memeranginya, hendaklah dia sebut, ‘saya berpuasa’.

Hadis ini menunjukkan bahawa puasa mendidik Muslim agar menahan dirinya daripada pergaduhan. Dengan ini puasa mendidik sifat mulia iaitu sifat sabar dalam jiwa Muslim.

Tidak dinafikan bahawa untuk mempraktikkan sifat ini adalah sukar. Oleh itu, Allah menjanjikan pahala yang tidak terbatas kepada orang yang sentiasa bersabar.

Firman Allah Ta‘ala dalam Surah al-Zumar: 10,

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman! Bertakwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat) dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.

Sekiranya sifat sabar dapat diterapkan maka sempurnalah agama seseorang individu Muslim itu.

Al-Shaikh Muhammad al-Uthaimin dalam kitabnya Syarah Riyadus Salihin menjelaskan bahawa sabar merangkumi tiga aspek utama penghayatan agama iaitu: Sabar dalam mengamalkan ketaatan, sabar dalam meninggalkan maksiat dan sabar dalam menghadapi musibah.

Malam Seribu Bulan

Satu lagi amalan yang menggandakan pahala dalam bulan yang paling mulia ini adalah Lailatulqadar. Allah berfirman dalam Surah al-Qadr: 3,

Malam al-Qadar adalah lebih baik daripada seribu bulan.”

Maksudnya, satu amalan ibadat yang diterima oleh Allah pada malam al-Qadr akan digandakan kepada lebih daripada ibadat selama seribu bulan iaitu lebih kurang 83 tahun.

Amat beruntung bagi yang dapat menemui malam al-Qadr, segala dosanya yang silam diampunkan Allah

Justeru, apabila tibanya sepuluh malam terakhir Bulan Ramadan, kita tiada pilihan lain kecuali untuk merebut peluang gandaan pahala yang Allah sajikan kepada kita.

Seharusnya kita meningkatkan kegigihan ibadah pada tempoh 10 hari yang akan datang. Jangan biarkan kemuliaan Lailatulqadar terlepas daripada genggaman kita. Kemuliaan Lailatulqadar hanya wujud dalam bulan Ramadan.

Ingatlah bahawa ‘Aisyah radiyallahu ‘anhu telah berkata:

Kebiasaannya dahulu, Nabi s.a.w. apabila masuk sepuluh hari terakhir Ramadan, Baginda akan bersungguh-sungguh, menghidupkan malamnya dan membangunkan keluarganya dari tidur.”  HR al-Imam al-Bukhari

Di samping gandaan pahala, pada Lailatulqadar, satu lagi kemuliaan diberikan kepada kita oleh Allah Ta‘ala, iaitu pengampunan dosa silam. Syaratnya hanyalah dua iaitu melakukan ibadat pada malam itu dengan penuh keimanan dan pengharapan. Sabda Rasulullah s.a.w.,

“Siapa bangun malam al-Qadr dengan keimanan dan pengharapan akan diampunkan untuknya dosanya yang terdahulu.” (HR al-Imam al-Bukhari, no. 760)

Pada malam-malam yang berkemungkinan menjadi malam Lailatulqadar iaitu antara malam 21 hingga malam 30 Ramadan, bacalah:

(Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa‘fu ‘anni) [ertinya:] “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, sukakan kemaafan, maka maafkanlah aku.”  HR al-Imam Ibnu Majah,

___________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare