Anggota polis membuat sekatan jalan di kawasan Nibong Tebal berikutan kejadian tahanan etnik Rohingya melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, hari ini./Gambar BERNAMA

POLIS Kedah melancarkan Op Kesan bagi mengesan baki 171 pelarian Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, dekat Bandar Baharu kira-kira 4.30 pagi tadi.

Ketua Polis Kedah, CP Wan Hassan Wan Ahmad berkata, 171 pelarian itu terdiri daripada 131 lelaki dewasa, 28 wanita dewasa dan 12 kanak-kanak lelaki. 

Beliau berkata selain polis Kedah, operasi mencari turut melibatkan polis Pulau Pinang dan Perak selain Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Unit Anjing Pengesan PDRM (K9).

“Kita juga melaksanakan Op Tutup di mana empat sekatan jalan raya (SJR) dibuat di Seberang Perai Selatan, empat di Bandar Baharu dan lima di Kulim,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.

Daripada 528 yang melarikan diri dari depot yang menempatkan 664 orang tahanan itu, seramai 357 telah ditemui termasuk enam yang maut akibat dilanggar kenderaan semasa melintasi Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menghala selatan iaitu berhampiran kawasan Jawi.

Baca: Enam warga Rohingya maut ketika lintas lebuh raya, lari daripada Imigresen

528 etnik Rohingya ‘naik hantu’, pecah pintu blok larikan diri dari depot Imigresen

Wan Hassan berkata polis Kedah juga menubuhkan sebuah pasukan khas yang dianggotai 13 pegawai dan anggota bagi menjalankan siasatan terperinci untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian itu.

Mengulas mengenai kejadian itu, beliau berkata terdapat kesan umpil dan pecah pada pintu utama depot tahanan, bagaimana pun pihaknya menyerahkan kepada JIM untuk menjelaskan kejadian tersebut.

“Operasi akan diteruskan sehingga kesemua saki-baki pelarian Rohingya yang melarikan diri ditangkap semula dan polis menasihatkan masyarakat supaya tidak sama sekali melindungi tahanan-tahanan ini kerana ia menyalahi undang-undang.

“Saya juga mengingatkan masyarakat supaya berhati-hati kerana tahanan ini mungkin berbahaya kerana mereka boleh melakukan jenayah akibat terdesak,” katanya. 

Wan Hassan meminta orang ramai yang ternampak pelarian Rohingya berkeliaran dan berkaki ayam agar memaklumkan kepada pihak polis supaya tindakan susulan dapat diambil.

“Polis percaya mereka masih berada di kawasan berhampiran dan usaha menangkap semua tahanan ini akan dapat dilaksanakan,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 223/224 dan 147 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA