مريام ممڤوڽاءي تمڤت يڠ ايستيميوا دالم بوداي ملايو. دري سودوت تيكنولوڬي، سياڤا سڠک كماهيرن ڤرسنجاتاءن ملايو زمان دهولو سوده ممڤو منچيڤتا مريام موده اليه دان بوليه برڤوسيڠ سهيڠݢ 360 درجه، ممودهكن اي دهالاكن کساسرن.
مريام اورڠ ملايو دكنلي سباڬاي ليلا دان رنتاک. اي ساله ساتو سنجات ڤنتيڠ اوليه ڤاسوقن تنترا كسلطانن ملايو دهولو.
اصطلاح ‘ليلا’ مروجوع كڤد جنيس مريام يڠ دڤربوات درڤد تمباݢ، ماناكالا ‘رنتاک’ دڤربوات درڤد بسي. دكاتاكن نام ‘ليلا’ دأمبيل درڤد جودول چريتا كلاسيک ليلا مجنون.
مريام ملايو كباڽقنڽ كچيل دان ريڠن، بربيذا دڠن مريام بارت. اي موده دڤيندهكن دان تيدق ڤرلوكن راماي اورڠ اونتوق مڠڠكتڽ.

منوروت ديكن فاكولتي بهاس مودن دان كومونيكاسي، اونيۏرسيتي ڤوترا مليسيا، ڤروفيسور دوكتور عبدالمواتي احمد، مريام اورڠ ملايو موده دكنلي برداسركن موتيف دان اوكيرن ڤد مريام ترسبوت.
چونتوهڽ، سڤرتي موتيف ڤوچوق ربوڠ، بوڠا لاوڠ دان چڠكيه، ناݢ دان ايكن لومبا٢. موتيف٢ اينيله يڠ ممبيذاكنڽ دڠن مريام بارت.

مريام اورڠ ملايو موده دکنلي برداسرکن موتيف دان اوکيرن ڤد مريام ترسبوت
اورڠ ملايو زمان دهولو سوده ماهير دڠن تيكنولوڬي ڤمبواتن مريام. ماله، سماس ڤورتوڬيس داتڠ اونتوق مناون ملاک، اورڠ ملايو كتيک ايت سوده مڠڬوناكن مريام اونتوق ملاون ڤنجاجه.
برداسركن چاتتن ڤورتوڬيس، سماس ارمادا ڤورتوڬيس مڽرڠ ملاک ڤد 1511، ساله ساتو سنجات يڠ دڬوناكن ڤندودوق ملاک ملاون مريک اياله مريام.
سلڤس ملاک برجاي دتاون، دچاتتكن ڤورتوڬيس تله مرمڤس انتارا 2,000 سهيڠݢ 3,000 ڤوچوق مريام يڠ منجادي انتارا سنجات ڤرتاهنن ملاک كتيک ايت. منوروت سرجان بارت، مريام يڠ درمڤس ايت تربهاڬي كڤد دوا جنيس، بسر دان كچيل، بركموڠكينن جنيس ليلا دان رنتاک.
سبواه مريام تمباݢ بسر كڤوڽاءن سلطان محمود شاه توروت درمڤس دان كمودين ڤورتوڬيس تله ممبري مريام ايت سباڬاي هديه كڤد سلطان زامورين دكاليكت، اينديا.

كقواتن مريام٢ ڤرتاهنن ملاک ايت توروت دأكوءي اوليه ڤنعلوق ڤورتوڬيس، الفونسو دي البوقرقي سباڬاي ستنديڠ دڠن مريام بواتن جرمن.
منوروت دوكتور عبدالمواتي، ڤد زمان دهولو، مريام بوكن سهاج دڬوناكن سباڬاي سنجات دالم ڤڤرڠن، تتاڤي جوݢ منجادي لامبڠ ككواساءن.
جک مريام بسر دڬوناكن سباڬاي سنجات، ترداڤت جوݢ مريام٢ كچيل يڠ دحاصيلكن بوكن ساج سباڬاي لامبڠ كواس، ماله اد يڠ منجاديكن مريام سباڬاي مات واڠ.
مريام جوݢ دڬوناكن سباڬاي هنترن ڤركهوينن ڤد زمان دهولو كران اي جوݢ ممباوا لامبڠ ككاياءن. سماكين باڽق مريام درومه اورڠ ايت، سماكين تيڠڬي ستاتوسڽ.

ڤد هاري اين، كباڽقن مريام لاما اين تيدق لاڬي بردنتوم اتاو منجادي لامبڠ كمڬهن سڤرتي زمان دهولو. اي لبيه باڽق منجادي ڤرهياسن بيسو دتيڠڬالن كوبو ڤرتاهنن، ڤركارڠن ايستان، موزيوم دان باڠونن٢ دسلوروه نڬارا.
ڬالري نوسنتارا دكومڤليک س کيمبل، كوالا لمڤور توروت مڽيمڤن كوليكسي مريام ملايو اين. ترداڤت سمبيلن جنيس مريام دڬالري اين يڠ مروڤاكن كوليكسي ڤريبادي الله يرحم داتوق حاج شهراني عبدالله، ڤڠاساس شاڤادو ڬروڤ. كسموا مريام اين دداڤتي درڤد كڤولاوان ملايو.

Lela Rentaka
Lambang Kuasa & Kemegahan Bangsa Melayu, Setanding Meriam Jerman
Meriam mempunyai tempat yang istimewa dalam budaya Melayu. Dari sudut teknologi, siapa sangka kemahiran persenjataan Melayu zaman dahulu sudah mampu mencipta meriam mudah alih dan boleh berpusing sehingga 360 darjah, memudahkan ia dihalakan ke sasaran.
Meriam orang Melayu dikenali sebagai Lela dan Rentaka. Ia salah satu senjata penting oleh pasukan tentera kesultanan Melayu dahulu.
Istilah ‘Lela’ merujuk kepada jenis meriam yang diperbuat daripada tembaga, manakala ‘Rentaka’ diperbuat daripada besi. Dikatakan nama ‘Lela’ diambil daripada judul cerita klasik Laila Majnun.
Meriam Melayu kebanyakannya kecil dan ringan, berbeza dengan meriam Barat. Ia mudah dipindahkan dan tidak perlukan ramai orang untuk mengangkatnya.
Menurut Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr. Abdul Mua’ti Ahmad, meriam orang Melayu mudah dikenali berdasarkan motif dan ukiran pada meriam tersebut.
Contohnya, seperti motif pucuk rebung, bunga lawang dan cengkih, naga dan ikan lumba-lumba. Motif-motif inilah yang membezakannya dengan meriam Barat.
Orang Melayu zaman dahulu sudah mahir dengan teknologi pembuatan meriam. Malah, semasa Portugis datang untuk menawan Melaka, orang Melayu ketika itu sudah menggunakan meriam untuk melawan penjajah.
Berdasarkan catatan Portugis, semasa armada Portugis menyerang Melaka pada 1511, salah satu senjata yang digunakan penduduk Melaka melawan mereka ialah meriam.
Selepas Melaka berjaya ditawan, dicatatkan Portugis telah merampas antara 2,000 sehingga 3,000 pucuk meriam yang menjadi antara senjata pertahanan Melaka ketika itu. Menurut sarjana Barat, meriam yang dirampas itu terbahagi kepada dua jenis, besar dan kecil, berkemungkinan jenis Lela dan Rentaka.
Sebuah meriam tembaga besar kepunyaan Sultan Mahmud Shah turut dirampas dan kemudian Portugis telah memberi meriam itu sebagai hadiah kepada Sultan Zamorin di Kalikat, India.
Kekuatan meriam-meriam pertahanan Melaka itu turut diakui oleh penakluk Portugis, Alfonso de Albuquerque sebagai setanding dengan meriam buatan Jerman.
Menurut Dr. Abdul Mua’ti, pada zaman dahulu, meriam bukan sahaja digunakan sebagai senjata dalam peperangan, tetapi juga menjadi lambang kekuasaan.
Jika meriam besar digunakan sebagai senjata, terdapat juga meriam-meriam kecil yang dihasilkan bukan saja sebagai lambang kuasa, malah ada yang menjadikan meriam sebagai matawang.
Meriam juga digunakan sebagai hantaran perkahwinan pada zaman dahulu kerana ia juga membawa lambang kekayaan. Semakin banyak meriam di rumah orang itu, semakin tinggi statusnya.
Pada hari ini, kebanyakan meriam lama ini tidak lagi berdentum atau menjadi lambang kemegahan seperti zaman dahulu. Ia lebih banyak menjadi perhiasan bisu di tinggalan kubu pertahanan, perkarangan istana, muzium dan bangunan-bangunan di seluruh negara.
Galeri Nusantara di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur turut menyimpan koleksi meriam Melayu ini. Terdapat sembilan jenis meriam di galeri ini yang merupakan koleksi peribadi Allahyarham Dato’ Haji Shahrani Abdullah, pengasas Shapadu Group. Kesemua meriam ini didapati daripada kepulauan Melayu.

