Onn Hafiz berbual bersama Mohd Puad Zarkashi yang baru dilantik sebagai Speaker DUN Johor hari ini./Gambar FB Onn Hafiz

AHLI Dewan Undangan Negeri Rengit Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini dilantik Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 pada mesyuarat pertama bagi penggal persidangan pertama DUN di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini.

Mohd Puad, 64, merupakan calon tunggal yang dicadangkan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dan disokong ADUN Buloh Kasap Datuk Zahari Sarip, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri.

Menyifatkan lantikan beliau sebagai satu penghormatan yang tinggi, Mohd Puad memberi jaminan untuk menjalankan tugasnya sebaik mungkin seperti sumpah yang telah dilafazkan.

Selain itu, beliau turut mengingatkan agar semua ADUN menjadikan titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar sebagai panduan, supaya tidak menjadikan persidangan dewan sebagai “sangkar beruk” sebaliknya menumpukan kepada pelan tindakan membantu rakyat serta membangunkan ekonomi Johor, ketika baginda bertitah pada pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat DUN Johor ke-14, Ogos tahun lepas.

Baca: PRN Johor : Puad mahu ubah persepsi dan beri khidmat terbaik

“Ingin saya ingatkan Dewan ini menjadi tempat kita berbincang dan berbuat ketetapan bagi kepentingan rakyat dan negeri Johor. Jangan cemarkan Dewan mulia ini dengan perangai buruk. Ini adalah Dewan mulia bukan dewan sangkar beruk. 

“Justeru, Ahli-Ahli yang berhormat marilah kita berbahas secara kritikal tetapi konstruktif… sebagai pembina sendi-sendi negara dan bangsa,” kata beliau selepas mengangkat sumpah hari ini.

Mohd Puad Zarkashi dilantik Speaker DUN Johor hari ini.

Mohd Puad turut merakamkan penghargaan kepada bekas Speaker DUN Suhaizan Kaiat dan Timbalan Speaker Gan Pek Cheng atas khidmat mereka.

Pada pilihan raya negeri Johor bulan lepas, Mohd Puad, yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, memenangi kerusi Rengit dengan majoriti 1,930 undi, sekali gus menewaskan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir dan bekas ADUN Senggarang Khairuddin A Rahim daripada PKR.

Terdahulu, sebanyak 56 ADUN Johor mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.

Majlis angkat sumpah di hadapan Mohd Puad didahului oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi (BN-Machap) diikuti dengan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO). 

Majlis angkat sumpah diteruskan dengan bekas Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad (BN-Benut); diikuti bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Samsolbari Jamali (BN-Semarang); bekas Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar R. Vidyananthan (BN-Kahang) sebelum disusuli ADUN lain.

Sejurus selepas mengangkat sumpah selesai, Samsolbari, 60, yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor, dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Johor selepas nama beliau dicadang Onn Hafiz dan disokong Zahari.

— BERNAMA