Perdana Menteri mempengerusi mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) secara maya hari ini

FASA Satu Program Pembasmian Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang bermula bulan ini melibatkan 80 lokaliti dan kira-kira 5,000 ketua isi rumah (KIR), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri yang mempengerusi mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) hari ini berkata, secara keseluruhannya, sebanyak 1,000 lokaliti akan dipilih untuk pelaksanaan BMTKM sehingga hujung 2025.

“Pelaksanaan BMTKM menggunakan pendekatan baru yang lebih holistik, bersepadu dan berfokus dengan memberi tumpuan kepada aktiviti penjanaan pendapatan dalam kalangan KIR miskin tegar secara mampan,” katanya satu kenyataan akhbar hari ini.

Mesyuarat kali pertama bagi tahun 2022 itu dihadiri oleh empat menteri kanan serta ketua jabatan dan agensi yang terlibat secara dalam talian yang membincangkan pelbagai perkara.

Mesyuarat dimaklumkan Prestasi Perbelanjaan Peruntukan Pembangunan (DE) Asas Tahun 2022 setakat 15 April 2022 adalah pada kadar 18.33 peratus dan Jawatankuasa Pemudahcara Pelaksanaan Projek Pembangunan Negara (JP4N) telah diwujudkan bagi menangani cabaran-cabaran utama dalam pengagihan DE.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat juga bersetuju supaya ketua setiausaha semua kementerian melaporkan status perbelanjaan DE kepada menteri masing-masing setiap bulan supaya tindakan segera dapat diambil bagi mempercepatkan pelaksanaan projek.

Katanya, selaras dengan RMKe-12, kerajaan telah menetapkan sasaran untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi pada 2025 satu rangka kerja diluluskan untuk memantau prestasi beberapa petunjuk untuk mencapai sasaran tersebut.

BERITA BERKAITAN Perak negeri kaya tapi rakyat miskin tegar

Petunjuk ini merangkumi tiga komponen iaitu kemakmuran, inklusiviti dan kemampanan. Antaranya termasuklah:
• Pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pendapatan isirumah;
• Peningkatan daya saing dan produktiviti;
• Peningkatan sumbangan industri berimpak tinggi kepada ekonomi;
• Pembasmian kemiskinan tegar;
• Pembangunan negeri yang seimbang; dan
• Kemampanan dan daya tahan alam sekitar.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat juga dimaklumkan mengenai Perancangan Projek Tebatan Banjir berjumlah RM15 bilion bagi tempoh lapan tahun, bermula tahun depan.

Kaedah pembiayaan projek-projek ini sedang diperincikan oleh Kementerian Kewangan dan perancangan secara holistik akan merangkumi projek jangka masa pendek/sederhana dan panjang, katanya. – UtusanTV