Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang./Gambar FB Abdul Hadi

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, parti itu tidak perlu melayan isu PASALeaks yang disifatkan sebagai surat layang bertujuan memfitnah parti tersebut.

Beliau berkata, hanya golongan loyar buruk yang berminat untuk melayan surat layang berkenaan.

“Tak ada guna kita melayan surat layang ni. Kalau layan nanti kita sama-sama melayang.

“Pada saya hanya yang ‘loyar buruk’ sahaja yang melayan surat layang ni, kerana dari segi undang-undang pun (isu itu) tidak lekat.

“Surat layang ni kita tak tahu siapa yang buat. Sebab itulah dipanggil surat layang. Cuma dia tanggunglah dengan Tuhan. Kita orang Islam percayakan. Bulan puasa pula,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian ketika ditemui pemberita di Rusila Marang, hari ini, lapor Sinar Harian.

Mengulas lanjut Abdul Hadi berkata, tiada keperluan baginya membuat sebarang penafian berhubung surat tersebut kerana penjelasan sudah dibuat oleh Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, kelmarin.

Katanya, penyebaran PasLeaks tidak menggugat keharmonian serta hubungan parti itu bersama rakan komponen Perikatan Nasional (PN) yang lain.

“Hubungan bersama PN seperti biasa. Kita sentiasa mengadakan perbincangan dari masa ke semasa secara terperinci. Kita tak mahu layan surat-surat layang ni,” ujarnya.

Baca: Ahmad Samsuri nafi terlibat mahu jatuhkan BN

Tidak pasti kesahihan dokuman PASLeaks

Sebelum ini tular dalam media sosial beberapa keratan dokumen didakwa merupakan minit mesyuarat Pas yang mempunyai pelan atau gerak kerja parti itu untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Dua pemimpin Pas dan PN iaitu Ahmad Samsuri dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin turut memberikan maklum balas dengan menyifatkan PASLeaks sebagai dokumen sampah.

Selain itu, mereka turut menafikan dakwaan wujud perbincangan dalaman untuk menjatuhkan beberapa pemimpin UMNO sebagaimana didakwa menerusi dokumen tersebut.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, terpulang kepada UMNO untuk membuat laporan polis berhubung isu tersebut.

“Terpulang kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk membuat laporan polis kerana Pas kekal dengan pendirian untuk tidak melayan isu berkenaan,” jelas beliau.