Jangan banyak Bertanya

Pada zaman Nabi s.a.w. para sahabat dilarang banyak bertanya. Bahkan dalam ayat al-Quran secara zahirnya turut melarang daripada banyak bertanya hingga menimbulkan kesusahan untuk beramal.

Dalam surah al-Maidah ayat 101, Allah S.W.T. telah memberi amaran kepada orang mukmin agar tidak banyak bertanya. Firman Nya,

“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu bertanya (kepada nabimu) hal-hal yang jika diterangkan kepadamu (justeru) menyusahkan kamu. Jika kamu menanyakan ketika al-Quran sedang diturunkan (nescaya) akan diterangkan kepadamu. Allah telah memaafkan kamu tentang hal-hal itu. Dan Allah maha pengampun lagi maha penyantun.”

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Aku belum pernah melihat tentang jelasnya kebaikan dan keburukan seperti hari ini sama sekali. Syurga dan neraka ditampakkan kepadaku hingga aku melihat keduanya tanpa dinding penghalang.” (HR Bukhari & Muslim)

Berdasarkan hadis di atas, Ibnu Abbas r.a. ada mengatakan bahawa,

“Sekelompok orang bertanya kepada Rasulullah dengan nada mengejek. Salah seorang dari mereka bertanya, “Siapakah ayahku?” dan seseorang lain yang kehilangan untanya juga bertanya, “Di manakah untaku?” Maka Allah menurunkan ayat ini berkenaan dengan mereka. (HR Bukhari)

Dalam pada itu, menjelaskan tentang larangan banyak bertanya, terdapat satu lagi kisah dari Imam Ahmad yang meriwayatkan dari saidina Ali r.a. yang mengatakan,

“Ketika turun ayat dari surah Ali ‘Imran: 97, “Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu bagi orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah” mereka para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah setiap tahun?” Baginda diam.

Mereka bertanya lagi, “Apakah setiap tahun?” Baginda tetap diam. Kemudian mereka bertanya lagi, “Apakah setiap tahun?” maka Baginda menjawab, “Tidak! Seandainya aku mengatakan ya, nescaya menjadi wajib dan seandainya wajib nescaya kalian tidak mampu melakukannya.”

Maka itulah Allah melarang agar tidak banyak bertanya, supaya tidak mendatangkan kesusahan pada mereka. Hadis ini diriwayatkan oleh Tirmizi dan Ibnu Majah.

Kawal diri dari banyak bertanya perkara yang tidak mendatangkan faedah

Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh al-Bukhari juga ada mengatakan, “Orang muslim yang paling besar dosanya ialah orang yang bertanya tentang sesuatu yang tidak diharamkan, lalu ia diharamkan kerana sebab pertanyaannya.”

Kesan akibat dari banyak bertanya, maka Allah telah menjelaskan dalam surah al-Maidah ayat 102,

“Sesungguhnya telah ada segolongan manusia sebelum kamu, menanyakan hal-hal yang serupa itu kepada nabi mereka, kemudian mereka menjadi kafir.”  

Mengambil Hati

Tradisi larangan bertanya diamalkan secara berterusan oleh para sahabat kerana akur dengan larangan dari Baginda s.a.w. Walaupun banyak persoalan yang timbul, namun mereka tidak berani untuk bertanya itu dan ini, melainkan sesuatu perkara yang dianggap sangat mustahak.

Oleh kerana itu, mereka lebih senang sekiranya ada orang-orang Badwi yang bertanya kepada Baginda s.a.w. supaya mereka dapat mengambil manfaat dari pertanyaan tersebut.

Seorang sahabat Baginda s.a.w. iaitu Anas bin Malik r.a. pernah berkata,

“Ketika kami dilarang untuk bertanya kepada beliau tentang hal-hal yang tidak penting, kami berharap akan datang seorang Badwi yang cerdas (mengerti cara bertanya yang baik) maka dia bertanya kepada beliau dan kami akan mendengarkan perbualan tersebut.”

Dalam konteks ini, Baginda s.a.w. memberi keringanan kepada orang-orang Arab Badwi dan orang-orang seperti mereka, iaitu delegasi-delegasi yang menghadapnya, atas tujuan mengambil hati mereka. Adapun para sahabat Ansar dan Muhajirin yang menetap di Madinah, mereka mempunyai keimanan yang menancap kuat di dalam hati, maka itu mereka dilarang untuk banyak bertanya.

Elak Ditimpa Susah

Larangan untuk banyak bertanya juga termaktub dalam hadis dari Abu Hurairah r.a. dari Baginda s.a.w. yang berbunyi

“Apa sahaja yang aku larang terhadap kalian, maka jauhilah. Dan apa sahaja yang aku perintahkan kepada kalian, maka kerjakanlah semampu kalian. Sesungguhnya apa yang membinasakan umat terdahulu sebelum kalian, hanyalah kerana mereka banyak bertanya dan menyelisihi nabi-nabi mereka.” (HR Bukhari & Muslim)

Kisah yang berlaku antara nabi Musa dengan kaumnya Bani Israel, sebagaimana yang tercatat dalam surah al-Baqarah ayat 68 hingga 71 sewajarnya menjadi satu pengajaran yang berguna pada kita. Kedegilan Bani Israel yang tidak mahu melaksanakan perintah Allah tersebut, dengan mencari pelbagai alasan dan hujah. Namun akhirnya mereka terpaksa juga melakukannya kerana tiada lagi hujah dan tipu daya yang dapat mereka bentangkan kepada nabi Musa a.s.

Antara sebab mengapa Islam larang banyak bertanya supaya umatnya tidak berada dalam kesusahan

Begitu juga dengan kisah antara nabi Musa a.s. dengan nabi Khidir a.s. juga menarik untuk dijadikan satu teladan. Hanya disebabkan nabi Musa tidak patuh dengan syarat yang dikemukakan oleh nabi Khidir, maka perjalanan mereka terpaksa ditamatkan. Syarat yang diberi cukup mudah, jangan bertanya segala tindakan yang dilakukan oleh nabi Khidir a.s. sepanjang perjalanan mereka.

Adapun antara sebab mengapa Allah melarang hamba Nya dari banyak bertanya bagi mengelakkan mereka ditimpa kesusahan hanya kerana pertanyaan mereka yang melampau-lampau. Bayangkan dengan hasil pertanyaan mereka yang keterlaluan, sesuatu perkara yang halal menjadi haram. Ibadah yang ringan menjadi berat. Bukankah ini akan mendatangkan kesusahan bagi mereka untuk beramal.

Tidak sekadar itu, bahkan Allah S.W.T. tidak mahu umat nabi Muhammad menjadi seperti golongan Yahudi atau munafikin yang banyak bertanya, hanya untuk mengejek atau memperolokkan nabi-nabi mereka. Kesudahannya mereka tetap tidak beriman. Apa yang Allah inginkan agar setiap orang mukmin dapat menunjukkan keimanan mereka kepada Baginda s.a.w. dengan patuh segala arahan tanpa banyak soal.     

_________________________________-

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare