BIASANYA selepas makan, kita akan sendawa. Sekuat mana bunyi sendawa yang pernah anda dengar? Kuat mana pun ia mungkin tidak sedahsyat bunyi sendawa lelaki bernama Paul Hunn.

Lelaki berasal dari London ini ini mampu menghasilkan sendawa dengan kekuatan lebih 107 desibel, yang boleh disamakan dengan kekuatan bunyi pesawat ketika mendarat di landasan. Terkejut? Ya, punyalah kuat dia sendawa sehingga dinobatkan sebagai manusia paling kuat sendawa di dunia oleh Rekod Dunia Guinness.

Desibel adalah unit ukuran yang digunakan untuk menunjukkan keamatan bunyi. Ukuran yang dilakukan ke atas bunyi sendawa Hunn mendapati, suara sederas itu sangat membingitkan telinga dan boleh mengganggu pendengaran manusia pada jarak dekat.

Dalam kes Hunn, kemampuannya mengeluarkan sendawa seperti bunyi deruan ekzos kenderaan dianggap unik.

Paul Hunn dinobat lelaki paling kuat sendawa oleh Guinness.

Hunn mula memperdengarkan kelantangan sendawanya kepada umum pada September 2008. Kerana sendawanya yang luar biasa kuat dan belum pernah dibuat oleh orang lain, maka namanya dicatat dalam Guinness Books of Records sebagai pemegang rekod sendawa paling kuat di dunia pada tahun 2009 dengan kekuatan sendawa 109.9 desibel.

Sebagai pemegang rekod, orang ramai mula berkeinginan untuk mendengar sendiri ledakan sendawa lelaki ini. Sejak itu, dia sering diundang membuat persembahan untuk program televisyen dan majlis-majlis rasmi.

Setiap kali memenuhi undangan, dia tidak terlepas daripada diajukan pertanyaan tentang bagaimana dia boleh melontarkan bunyi sendawa dengan begitu lantang.

Hunn mulanya kurang pasti untuk menjawab pertanyaan itu. Ini kerana tiada petua yang diamalkannya untuk mengeluarkan sendawa yang kuat begitu. Ada pun dia cuma mempraktikkan kaedah yang ringkas.

Cara yang selalu dilakukannya sebelum menghembuskan sendawa ialah dengan meneguk minuman berkarbonat terlebih dahulu, kemudian membongkokkan sedikit badan. Hasilnya, keluar bunyi sendawa yang amat kuat.

Paul Hunn sering diundang ke pelbagai program.

Menurut Hunn, dia sendiri tidak mengetahui sejak bila bakat anehnya itu muncul. Pertama kali dia sedar tentang kekuatan bunyi sendawanya itu selepas makan makanan pedas atau menghirup udara yang sangat banyak.  

Hunn telah mempertahankan rekod itu selama 12 tahun sebelum ia dikalahkan oleh Neville Sharp dari Australia.

Neville mencatatkan rekod kekuatan bunyi sendawa pada tahap 112.4 desibel pada Julai 2021 yang menyamai kekuatan bunyi gerudi elektrik.

Neville, pemegang rekod baru setelah berjaya mengalahkan rekod Hunn

FAKTA SENDAWA :

  • Sendawa merupakan reaksi secara fisiologi yang normal untuk semua orang. Sendawa terhasil kerana keluarnya gas dari perut ke mulut disertai dengan bunyi, suara dan adakalanya berbau.
  • Bunyi sendawa terhasil disebabkan oleh getaran udara atau gas pada kerongkong saat gas keluar.
  • Kekuatan bunyi sendawa bergantung pada banyak mana udara tertelan dan masuk ke dalam perut semasa makan atau minum.
  • Selain manusia, haiwan mamalia seperti anjing, kambing biri-biri dan lembu juga bersendawa dalam bentuk gas metana.
  • Ikan juga sendawa dengan mengeluarkan udara melalui insangnya.
  • Kegagalan sesetengah haiwan untuk sendawa boleh membawa maut.

________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/