HAMPIR 73,000 orang peserta FELCRA Berhad seluruh negara bakal menikmati pembayaran Keuntungan Boleh Agih Akhir 2021 Fasa 2 Projek-projek Peserta FELCRA Malaysia 2021 berjumlah RM136.4 juta.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pengurusan perladangan yang efektik dan sistematik oleh FELCRA Berhad dengan usaha penambahbaikan menjadi faktor utama kepada perolehan keuntungan memberangsangkan tersebut.

Katanya, antara penambaikan yang dillakukan melibat proses aliran kerja, peningkatan penggunaan jentera dan alatan mekanisasi di ladang yang diurus FELCRA, serta pengenalan beberapa aspek automasi seperti penggunaan dron pemantauan pertanian.

Beliau berkata, berikutan prestasi yang membanggakan ini, Kerajaan Pesekutuan dalam Rolling Plan 2 (RP2) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), menyakini kemampuan FELCRA serta telah meluluskan pembayaran bagi peruntukan geran berjumlah RM161.6 juta untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti pelengkapan kampung iaitu amenities sosial, premis perniagaan, pelancongan desa, communities’ engagement, program tanam semula dan penambahbaikan infrastruktur ladang di seluruh Malaysia.

“Pembayaran telah mula dibuat bermula 22 April yang lalu dan dijangka akan selesai keseluruhan pembayaran pada pertengahan minggu ini. Jumlah berkenaan akan melengkapi keseluruhan pembayaran agihan keuntungan bagi tahun 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Keuntungan Boleh Agih Akhir 2021 Fasa 2, Projek Peserta-Peserta FELCRA Berhad di Sandakan, semalam.

Hadir sama Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah merangkap ADUN Sukau, Datuk Jafry Ariffin, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FELCRA Berhad, Datuk Mat Roni Zakaria.

Dalam ucapannya, Mahdzir turut memaklumkan peserta bakal menerima agihan akhir lebihan keuntungan tahun 2021 ini pada kadar purata RM2,755 per hektar atau RM1,115 per ekar.

“50 peratus atau Fasa 1 dari jumlah keseluruhan tersebut telah dinikmati oleh para peserta pada bulan Februari yang lalu,” katanya.

Pada majlis sama, Mahdzir turut menyampaikan replika cek Agihan Keuntungan Boleh Agih Akhir 2021 Fasa 2 bagi Negeri Sabah dan Daerah Sandakan, replika cek Peruntukan Geran Pembangunan Kerajaan RP2 RMKe-12 FELCRA Berhad Wilayah Sabah dan sumbangan berjumlah RM3ribu kepada Pertubuhan Pengurusan Rumah Amal Selawat Nabi. – UTUSANTV