Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin GAMBAR: Abd Razak Aid

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengisytiharkan ‘perang’ dengan pasaran gelap rokok seludup dalam negara yang telah menjadi terbesar di dunia ketika ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, peperangan itu akan bermula sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) larangan merokok bagi individu yang dilahirkan pada 2005 diluluskan.

“Kita telah melakukan perbincangan dengan pemimpin-pemimpi kesihatan dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan mengenai perkara ini.

“Walaupun ada yang berpendapat sukar untuk melindungi anak muda daripada rokok, tetapi kita tidak boleh berputus asa.

“Jangan sebab masalah penguatkuasaan, kita tiada cita-cita lebih tinggi, percayalah jika dapat luluskan RUU ini KKM (Kementerian Kesihatan) akan bekerjasama dengan semua agensi penguat kuasa.

“Kita akan isytihar perang pasaran gelap dan rokok seludup bagi membasmi produk ini secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam siarang langsung ketika melancarkan Generasi Penamat Anti Rokok 18 (GEGAR-18), di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra, Bangi hari ini.

Baca artikel berkaitan: Peranti rokok elektronik diwartakan berkuat kuasa 3 Ogos

Mengulas lanjut, Khairy berkata, KKM telah mengambil tindakan proaktif untuk membasmi kesalahan-kesalahan berkaitan rokok tahun ini.

Menurut beliau, KKM telah mengeluarkan lebih banyak kompaun atas kesalahan merokok dalam tiga bulan pertama tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Beliau turut memberi amaran kepada segelintir pihak yang degil dan tidak mematuhi larangan merokok di kawasan-kawasan yang telah ditetapkan.

“Yang mana tidak mengendahkan tanda larangan merokok di premis-premis makanan, tunggu kami datang kepada anda,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata, lebih 20,000 rakyat Malaysia meninggal dunia akibat komplikasi daripada merokok.

Tegas beliau, kerajaan juga bakal berdepan dengan kerugian sebanyak RM273 bilion akibat komplikasi merokok.

“Antaranya akibat kematian pra-matang disebabkan komplikasi merokok, ketidakhadiran bekerja kerana masalah kesihatan, atau tidak dapat menyumbang produktiviti kerana kesihatan terganggu.

“Merokok membahayakan kesihatan diri orang yang berada di sekeliling kita. Sains yang ada pada hari ini menunjukkan perkara ini. Asap itu memudaratkan.

“Paling sedih sekali, ada ahli keluarga yang merokok depan anak sendiri,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram