cara kekalkan taubat

Aik kata nak taubat bulan Ramadan ni, tapi belum sampai sebulan lagi, dah balik semula pada perangai asal, macam mana ni? Itu hari, beria kata nak berubah, nak mendekatkan diri pada Allah, tidak mahu lagi buat perkara maksiat. Mula tu rajin lah nampak di surau, solat tak pernah tinggal, terawikh sampai 20 rakaat, lepas tu sambung mengaji, ke sana sini pakai kopiah. Tapi la ni, cakap sudah tidak serupa bikin.   

Situasi begini mungkin biasa kita lihat dalam kalangan masyarakat terutama apabila berakhirnya Ramadan. Kata orang tua, “hangat-hangat tahi ayam”. Hari ini punyalah semangat nak bertaubat, nak berubah, tapi esok lusa semangat entah ke mana, taubatnya pun entah ke mana. Semua itu hanya tinggal kata sahaja.

Hakikatnya, begitu sukar sebenarnya untuk beristiqomah, dalam melakukan perkara-perkara yang disenangi Allah ini. Ada sahaja dugaan dan ujian yang cuba menggoyahkan hati. Paling ketara bila hendak berubah, ada kata-kata sinikal dan sindiran yang membidik ke telinga, hingga tepat menusuk jantung.

Bukan sokongan atau dorongan yang sepatutnya diterima, tapi lebih kepada ejekan,makian dan cacian daripada masyarakat sekeliling. Inilah antara dugaan yang perlu dihadapi, bagi mereka yang cuba untuk berubah.

Teringat sebuah drama tempatan, yang ditonton di layar kaca baru-baru ini. Kisah seorang mak nyah yang cuba berubah, untuk menjadi lelaki sejati. Pelbagai usaha dilakukan, namun akhirnya dia tetap tewas dan kembali kepada aktiviti asal. Tewasnya dia kerana, tidak mendapat sokongan dan dorongan daripada masyarakat sekeliling, yang terus menerus memandang serong, dan bersikap prejudis terhadap perubahan yang cuba dilakukan.

Sememangnya, cukup sukar sebenarnya untuk menguasai tingkat istiqomah, terutama dalam perbuatan yang baik ini. Ada sahaja halangannya. Jelas Dr. Abdul Rahman Mahmood, Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, taubat perlu dilakukan setiap masa, dan berulang-ulang kali. Ini bermakna apabila tertewas kembalilah bertaubat semula.  

Jika mengulangi dosa yang sama, baharui taubat, kerana manusia boleh mengulangi dosa yang sama akibat tidak mampu menahan hawa nafsu dan bisikan syaitan. Perlu difahami, taubat yang pertama tiada kaitan dengan taubat yang kedua.  

Jelasnya, jika hari ini melakukan dosa mencuri, maka perlu bertaubat untuk dosanya pada hari itu, dan tidak boleh mengumpul dosa yang sama selama seminggu, barulah dia bertaubat. Kata orang kumpul semua dosa dan taubat sekali gus. Ini yang tidak dibolehkan.

Melazimi Ibadah Dan Zikrullah

Sebagai orang yang beriman, kita hendaklah menjaga ibadat dan melazimi zikrullah, kerana ia boleh menjadi benteng dan perisai dalam menghalang hawa nafsu dan bisikan syaitan.

Terangnya lagi, orang yang menjaga ibadat ini adalah mereka yang diikat hubungannya dengan Allah. Sekalipun dia melakukan dosa maksiat, namun dia mudah untuk kembali kepada Allah. Berbanding mereka yang langsung tidak menjaga ibadat, secara jelasnya, mereka telah memutuskan tali ikatan dengan Allah S.W.T.

Dalam al-Quran, Allah ada memerintahkan supaya hambanya jangan berputus asa dengan rahmat Allah. Lihat saja dalam surah Yusuf ayat 12,

Dan janganlah kamu berputus asa dengan rahmat Allah. Sesungguhnya tiada yang berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.”

Zikir merupakan amalan yang boleh mengekalkan rasa tawaduk dalam diri

Tuturnya lagi, setiap hamba yang tahu akan sifat Allah yang Maha Pengampun, pasti akan kembali dan memohon keampunan dari Nya. Sebagaimana seorang anak yang mengetahui, jika ibunya seorang yang mudah memaafkan, pasti si anak akan selalu meminta ampun, andai ada melakukan kesalahan. Oleh itu jangan berputus asa untuk melakukan perubahan dan bertaubat.

 “Ulama sufi ada menyatakan, seseorang yang banyak melakukan dosa, kemudian menyedarinya dan insaf serta bertaubat, adalah lebih baik daripada seseorang yang sentiasa dalam ketaatan kepada Allah. Kerana orang yang berterusan dalam ketaatan kepada Allah ini, pasti akan mendatangkan perasaan sombong dan bongkak, lantaran dirinya tidak pernah melakukan dosa,” ujarnya.

Artikel berkaitan: Bagaimana mengetahui status taubat sama ada diterima atau

tidak

Ingatlah, hanya mereka yang diberikan hidayah untuk bertaubat sahaja yang mendapat kasih sayang Allah. Oleh itu sesiapa yang terbuka hatinya untuk bertaubat, ambillah peluang ini, kerana itu tanda Allah masih sayang pada kita.  

Sesungguhnya Allah menciptakan rahmat itu sebanyak 100 bahagian. Hanya satu bahagian sahaja diturunkan ke dunia, dan selebihnya disimpan untuk hambanya ketika di akhirat nanti. Maka, kejarlah dan raihlah rahmat itu dengan sebaiknya, selagi mana yang boleh supaya kita menjadi hamba yang disayangi Nya. Wallahu a’lam

____________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare