KERAJAAN komited memperbaiki kualiti perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya memperkasakan pelaksanaan One Stop Centre 3.0 (OSC 3.0) kepada OSC 3.0 Plus agar ia sentiasa efisien, cepat dan telus, dalam usaha melonjakkan pelaburan domestik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, OSC 3.0 Plus bakal memperkenalkan prosedur lengkap dan seragam berdasarkan undang-undang semasa bagi mengawal selia dan memudah cara proses pemajuan di kawasan PBT sehingga bangunan layak diduduki menggunakan aplikasi digital sepenuhnya.

“Ia melibatkan semua 98 PBT di Semenanjung Malaysia,” katanya dalamk kenyataan akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) Bil. 3 Tahun 2022 di Kuala Lumpur hari ini.

Mesyuarat tersebut membincangkan dua perkara utama berhubung pelaburan langsung domestik (DDI) dan pemerkasaan pusat sehenti (One Stop Centre – OSC) PBT.

Ismail Sabri berkata, negara yang kini dalam fasa “Peralihan ke Endemik” dan DDI adalah elemen terpenting dalam pemulihan ekonomi.

Katanya, sehubungan itu, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memperhalusi cadangan yang dikemukakan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) khususnya dalam memperkasakan DDI.

BERITA BERKAITAN Kementerian Kewangan lulus pelaburan unit amanah RM150 juta – Saksi

“Antara cadangan tersebut termasuklah melaksana kajian berkaitan inisiatif bagi mengurangkan 50 peratus kekangan birokrasi; melakukan penyatuan dan penyelarasan insentif pelaburan; merekayasa proses pengurusan buruh asing serta menyediakan pelan tindakan untuk mengembang rangkaian ‘perusahaan kecil dan sederhana dengan pelaburan langsung asing’ (PKS-FDI),” katanya.

Mengenai OSC 3.0 Plus, beliau berkata ia merupakan prosedur lengkap dan seragam berdasarkan undangundang semasa bagi mengawalselia dan memudahcara proses pemajuan di kawasan PBT sehingga bangunan layak diduduki menggunakan aplikasi digital sepenuhnya di semua 98 PBT di Semenanjung Malaysia.

“Penambahbaikan tersebut melalui pengenalan Sistem OSC 3.0 Plus Online dengan penekanan kepada aspek ‘teach in’, pengurusan aduan dan sesi libat urus pemegang taruh termasuk membangun mekanisme pusat sehenti pelesenan secara digital,” tambahnya.

Beliau berkata, proses pemulihan ekonomi negara kini berada pada momentum terbaik.

Katanya, kerajaan komited untuk memastikan DDI terus dirangsang dengan mengambil pendekatan mempermudahkan urusan para pemain industri dan kerajaan juga sentiasa mendengar cadangan daripada semua pihak untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia. – UtusanTV