penyakit ghaflah taubat terhijab

“Dan wahai kaum ku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepada Nya, supaya Dia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan, di samping kekuatan kamu yang sedia ada, dan janganlah kamu membelakangkan seruan ku dengan terus melakukan dosa.” Surah Hud:52 

Demikianlah rayuan dan permintaan nabi Allah Hud a.s kepada kaumnya, yang enggan beriman kepada Allah. Mereka terus menerus melakukan kemungkaran, sekalipun telah diberikan peluang untuk beriman kepada Allah.

Akhirnya, mereka dihancurkan dengan begitu dahsyat. Pembalasan Allah terhadap kaum Aad yang kafir, dan enggan beriman itu diturunkan dalam dua peringkat. Tahap pertama berupa kekeringan yang melanda ladang-ladang, dan kebun-kebun mereka yang sedang subur dengan hasil tanaman.

Dalam keadaan ini, nabi Allah Hud a.s. telah meminta kepada mereka untuk bertaubat, dan beriman kepada Allah. Namun rayuan dan permintaan nabi Hud a.s. diperlekehkan dan dipandang sombong oleh kaum Aad. Mereka bahkan pergi menghadap berhala-berhala dan memohon perlindungan dari musibah yang melanda.

Akhirnya Allah S.W.T. menghantarkan gumpalan awan mega hitam, berserta dengan ribut taufan yang maha dahsyat, dengan guruh dan petir halilintar memancar-mancar. Bencana angin taufan itu berterusan selama lapan hari tujuh malam, hingga menyapu bersih dan menghapuskan riwayat kaum Aad dari tempat tinggal mereka.

Itulah balasan bagi mereka yang masih ingkar, sekalipun telah diberikan peluang untuk bertaubat dan kembali kepada Allah.

Mengapa begitu sukar sekali untuk bertaubat, sedangkan banyak perumpamaan, dan kisah-kisah yang telah dipaparkan sebelum ini tentang azab, bagi mereka yang tidak mahu bertaubat, dan masih mengekalkan sifat-sifat kemungkaran.

Lihat sahaja di kaca-kaca TV, pelbagai drama Melayu yang memaparkan tentang hukuman yang diterima terhadap mereka yang tidak mahu bertaubat. Drama bersiri tanah kubur misalnya, banyak memaparkan tentang keadaan mereka yang diazab, atas kesilapan yang dilakukan saat hidup.

Mungkin juga ada yang mengatakan, “oh itu hanya drama yang sengaja direka, bukan betul pun.”

Hakikatnya, walaupun apa yang dipaparkan itu mungkin agak keterlaluan, dan bersifat komersial semata, namun sedikit sebanyak, ia cerminan bagi kehidupan masyarakat kini. Dan seharusnya paparan yang disajikan itu, dapat menjadi satu ibrah bagi lebih mendekatkan diri kepada Allah.

Namun yang menjadi persoalan di sini, mengapa hati ini begitu sukar untuk menerima perubahan, dan tetap ingkar dengan setiap suruhan Allah.  Apa yang menyebabkan taubat ini terhijab, sekalipun telah ditunjukkan segala macam azab dan hukuman dari Allah.

Kisah yang dipaparkan dalam drama Tanah Kubur seharusnya dijadikan pengajaran tentang azab kerana melakukan maksiat

Penyakit Ghaflah

Mengupas berkaitan permasalahan ini, menurut Dr. Abdul Rahman Mahmood, Pensyarah Fakuti Pengajian Islam UKM, hijab atau halangan yang paling besar dalam melakukan taubat ini adalah bisikan syaitan, yang sering menggoda manusia untuk terus-menerus ingkar kepada Allah. Tentera-tentera syaitan ini merupakan yang terlatih, dengan segala macam strategi pertempuran, bagi mengalahkan dan menghancurkan iman manusia.

Selain itu, bisikan hawa nafsu merupakan benteng terkuat bagi menghalang manusia dari melakukan taubat. Bisikan hawa nafsu ini menjadikan kita lalai mengingati Allah, dan bersifat dengan sifat ghaflah.

Ulama tasawuf mengatakan, penyakit ghaflah iaitu lalai adalah penyakit yang sering melanda jiwa manusia. Mereka yang mengalami penyakit ini akan menjadi leka dan sentiasa dibuai dengan nikmat maksiat. Mereka lupa kepada Allah hingga terjerumus ke dalam dosa. Apabila diberikan ujian seperti sakit, kehilangan harta, bencana dan sebagainya, barulah mereka ini kembali beriman.

 “Orang yang berdosa terkadang dikuasai oleh syaitan dan hawa nafsu. Maka dengan sebab itulah, Islam menyuruh umatnya untuk sentiasa memberi peringatan dan bimbingan. Orang yang beriman apabila mendengar azan maka dia akan tersedar, mendengar khutbah akan insaf, membaca dan tadabbur al-Quran akan menangis hiba,”ujarnya

Maka dengan sebab itulah Islam mewajibkan umatnya untuk mengerjakan solat Jumaat, dan jika ditinggalkan selama tiga kali berturut-turut, hatinya menjadi gelap dan kufur. Ini kerana solat Jumaat mengandungi khutbah, yang mampu memberi peringatan dan mengecas kembali hati untuk beriman kepada Allah Azza Wa Jalla.   

Ulasnya lagi, konsep taubat sangat relevan dengan makna kemanusiaan, dan tiada dalam agama lain. Ia menjadikan manusia bersikap optimis, meningkatkan prestasi hidup, dan memberi sumbangan kepada diri dan masyarakat. Ini kerana umat yang bertaubat adalah, umat yang membangun dengan perasaan rendah diri dan yakin dengan Allah.

Lihat sahaja dalam sejarah lalu, ramai tokoh-tokoh besar Islam, yang pernah terlanjur dan kemudian bertaubat, seperti Malik bin Dinar, al-Fudail ibn Iyad, Bisyr al-Hafi. Mereka bukan sahaja menyumbang pada pembangunan diri dan masyarakat, tetapi dalam pembangunan agama.

Oleh itu, banyakkanlah melakukan solat taubat, beristighfar dan membuat amal kebajikan, supaya benteng dan kubu yang menjadi hijab menghalang dari taubat, dapat diruntuhkan dengan mudah. Mulakan Ramadan kali ini dengan satu langkah pertama untuk menjauhi maksiat dan kembali beriman kepada Allah dengan iman yang sebenar.  Wallahu a’lam

____________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare