HUBUNGAN istimewa antara pasangan pelakon Yasmin Hani dan Alif Hadi bukan lagi rahsia malah ramai peminat mendoakan yang baik-baik buat mereka.

Namun, jelas Yasmin,43, hubungan tersebut masih awal perkenalan sebelum ke peringkat yang lebih serius.

“Kami baru berkenalan dan ingin mendalami hati budi masing-masing. Kami berdua boleh dikatakan masih dalam peringkat permulaan.

“Masih terlalu awal untuk kami bercinta. Insya-Allah bila hubungan kami nanti sudah ada hala tujunya, kami akan kongsikan perkara baik ini nanti,” kata Yasmin kepada URTV.

Yasmin ditemui pada majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro di Nexus, Bangsar South, baru-baru ini.

Meskipun perkahwinan terdahulu bersama bekas suami Sha’arin Mohamed Razali berakhir dengan penceraian, namun Yasmin akui tidak pernah berasa takut atau trauma untuk bergelar isteri buat kali kedua.

Malah, tidak pernah timbul istilah serik dalam kamus hidupnya untuk membuka pintu hatinya untuk mana-mana lelaki.

“Saya percaya rezeki dan jodoh ditentukan oleh Allah. Saya mahu berasa gembira termasuklah anak-anak.

“Pada mana-mana lelaki yang akan bersama saya satu hari nanti, saya harap dia bukan hanya terima saya tetapi anak-anak juga,” ujarnya.

Tertarik dengan kematangan dan sikap penyabar yang ada pada Alif itulah antara faktor mengapa Yasmin mahu mendekati lelaki berusia 34 tahun itu dengan lebih mendalam.

“Dia seorang lelaki yang sangat penyabar dan tidak memaksa. Selain itu, dia juga seorang yang menghormati pendirian orang lain serta ada sikap sopan dalam dirinya,” kongsinya.

Dalam pada itu, Alif, 34, pula mengakui tertarik dengan perwatakan Yasmin yang disifatkan sebagai seorang wanita yang peramah, baik dan manis.

“Saya lihat Yasmin sebagai seorang wanita peramah, baik dan manis. Sedangkan saya sendiri pendiam orangnya.

“Tapi apa-apa pun, saya masih ingin mengenali dirinya. Yasmin bukan tidak pernah berkahwin sebelum ini. Jadi biarlah kami mengenali hati budi masing-masing,” tutur Alif.

Enggan meletakkan sebarang sasaran dalam hubungan, Yasmin dan Alif hanya berharap yang baik-baik sahaja demi kebahagian mereka.

“Seandainya hubungan kami tidak menjadi, tidak mengapa. Jangan gaduh-gaduh. Walaupun saya sudah berumur dan terpaksa menjadi janda sampai bila-bila, yang penting saya gembira,” kata Yasmin.

Terdahulu, hubungan antara Yasmin dan Alif mula hangat diperkatakan selepas masing-masing memuat naik foto bersama-sama dalam Instagram.

Alif yang juga seorang duda dalam satu kenyataan mengesahkan mereka saling mengenali hati budi dan mula rapat beberapa bulan lalu.

Sekadar info, Yasmin pernah mendirikan rumah tangga dengan pemuzik, Sha’arin pada 2011 dan bercerai pada Disember tahun lalu.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata, Noah Ismail Wong, 9, dan Eissa Elzander Wong, 6.