JIKA disebut ‘puntianak’ atau ‘vampire’, lazimnya ia dikaitkan dengan legenda makhluk penghisap darah di seluruh dunia. Tahukah anda, di dasar laut pun wujud juga istilah ‘puntianak’ ini.

Puntianak yang dimaksudkan adalah sejenis sotong purba yang masih hidup hingga ke hari ini. Di sesetengah kawasan, sotong ini diberi jolokan ‘sotong puntianak dari neraka’.

Nama saintifik sotong ini Vampyroteuthis Infernalis, merupakan haiwan laut daripada spesies jenis filum moluska. Spesies ini sama kumpulan dengan organisma kerang yang lain seperti kerang gergasi dan siput.

Pengkaji Jerman, Dr. Carl Chun adalah individu pertama yang menemui haiwan ini di lautan Atlantik pada kedalaman 1400 meter pada tahun 1903.

Mengapa sotong ini diberi gelaran ‘vampire’

Vampire Squid atau digelar ‘sotong puntianak’.
Sotong ini digelar ‘sotong puntianak’.

‘Sotong puntianak’ atau vampire squid dinamakan begitu kerana keadaan bentuk fizikalnya. Ini kerana semasa haiwan ini berenang, ia akan melebarkan sesungutnya yang mempunyai lapisan membran hingga menyerupai ‘vampire cape’ atau jubah puntianak. 

Jika dilihat keadaan fizikalnya, mata sotong ini agak menakutkan. Matanya sebesar mata seekor anjing, manakala badannya cuma berdiameter 14 hingga 28 sentimeter saja. Mata sotong ini boleh berubah warna menjadi merah ataupun biru.

Perubahan warna mata itu bergantung pada cahaya yang terdapat di sekelilingnya. Sekali pandang, matanya yang kemerahan itu seakan hantu yang menyeramkan. Dari sudut sains, haiwan ini mempunyai mata sedemikian untuk membolehkan ia melihat apa saja benda yang berada dalam gelap.

Walaupun gelarannya begitu, namun sotong ini bukanlah penghisap darah. Gelaran ‘vampire squid’ itu hanyalah panggilan berdasarkan fizikal luarannya sahaja. Makanan sotong ini terdiri daripada ketam dan udang, berdasarkan apa yang dijumpai saintis dalam sistem penghadaman haiwan ini.

Keupayaan hidup sotong ini memang tinggi. Ia mampu hidup di sesuatu kawasan yang kurang sumber makanan. Sotong ini juga mampu makan apa saja makanan yang dijumpainya seperti bangkai ikan paus.

Walaupun mampu makan apa saja, namun ia bukan bersifat pemangsa hingga mampu mengancam spesies lain. Sotong puntianak ini tidak mendatangkan bahaya kepada manusia. Setakat ini, tiada laporan berkaitan serangan sotong jenis ini terhadap manusia. Rekod juga menunjukkan ia tidak mendatangkan bahaya kepada organisma lain.

Sotong ini mempunyai otot-otot lemah dan badan yang kenyal menyerupai gelatin. Fizikal itu jauh berbeza dengan spesies sotong lain.

Lazimnya, sotong biasa akan merembeskan dakwat hitam untuk menyelamatkan diri apabila terancam. Tetapi sotong puntianak hanya menyemburkan sejenis lendir putih bagi mengelirukan musuh saja. Walaupun begitu, sotong ini boleh bertindak agresif apabila ia bertemu dengan kala jengking laut dari hemisfera utara.

Mengikut sejarah, sotong ini telah wujud sejak zaman dinosaur lagi. Penemuan fosil oleh ahli pengkaji sains marin menunjukkan sotong ini pernah mencapai saiz yang besar seperti spesies sotong gergasi (Architeuthis dan Mesonychoteuthis) yang mampu membesar antara tujuh hingga 14 meter.

Fakta Ringkas Mengenai Sotong Puntianak

  • Mampu berenang dengan laju. Ia menggunakan sirip yang menyerupai telinga di bahagian kepala untuk mencepatkan pergerakannya.
  • Walaupun sotong ini wujud sejak zaman dinosaur, namun jangka hayatnya cukup unik. Ini kerana sotong puntianak betina akan mati sejurus ia bertelur. Sehingga kini, ahli sains marin masih kurang jelas apa sebab ia mati.
  • Apabila diancam bahaya, sotong ini akan melebarkan sesungutnya ke hadapan untuk mempertahankan diri. Pergerakan ini disebut sebagai ‘pumpkin posture’ atau ‘pineapple posture’.
  • Menjadi satu-satunya ahli keluarga dalam kelompok Vampyromorphida yang masih wujud hingga sekarang. Spesies lain dalam keluarga yang sama telah pupus dan hanya ditemui dalam bentuk fosil.
  • Sotong ini termasuk dalam kategori ‘rare’ atau jarang dijumpai kerana habitatnya di dalam laut berada pada kedalaman yang jarang dicapai manusia.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/