OLIVER merupakan nama seekor cimpanzi berasal dari Congo. Pada tahun 1960 ketika Oliver berusia dua tahun, pasangan suami isteri, Frank dan Janet Berger dari Amerika Syarikat mengambil haiwan itu untuk dibela dan tinggal bersama mereka.

Pasangan suami isteri itu amat tertarik dengan sifat fizikal Oliver yang luar biasa berbanding spesies cimpanzi yang lain. Raut wajah haiwan ini agak berbeza dan lebih menyerupai bentuk muka seorang manusia.

Selain keunikan rupanya, sifat Oliver juga agak berbeza berbanding dengan cimpanzi lain. Ia berkelakuan dan mengamalkan cara hidup yang lebih terarah kepada manusia.

Sejak kecil, Oliver sudah mampu berjalan dengan hanya menggunakan dua belah kaki sahaja tanpa dilatih. Selain itu, haiwan ini gemar menonton televisyen dan suka merokok. Bukan itu saja, Oliver dikatakan menyukai manusia khususnya wanita berbanding spesies cimpanzi betina.

Oliver mula mendapat perhatian ramai pada tahun 1970, sewaktu ia muncul dalam sebuah rancangan televisyen terkenal, Freak Show. Buat pertama kalinya Oliver dipertontonkan kepada umum dengan kisah bahawa haiwan ini memiliki wajah dan perwatakan hampir sama seperti seorang manusia. Sejak itu, kisah Oliver mula mendapat perhatian ramai.

Mengikut laporan dokumentari, Discovery Channel, Oliver pernah cuba ‘memikat’ tuannya, Janet, dengan cara memanjat tubuh wanita itu dan cuba mengadakan hubungan yang tidak sepatutnya dilakukan.

Disebabkan kelakuan aneh Oliver itu, pasangan suami isteri tersebut mula berasa terancam dan memutuskan untuk menjual cimpanzi itu kepada orang lain.

Oliver, cimpanzi yang dikatakan mempunyai banyak persamaan dengan manusia.

Pada tahun 1975, Oliver dibeli oleh seorang peguam, Michael Miller dengan harga $8,000.  Selain dipertontonkan kepada umum, Oliver juga mula menjadi kajian para saintifik atas kelainannya itu.

Pada tahun 1977, Michael menyerahkan cimpanzi itu kepada rakannya, Ralph Helfer, seorang pemilik taman tema di California.

Oliver dijadikan sebagai haiwan pameran kepada pengunjung yang datang ke taman hiburan itu, selain turut mendapat perhatian daripada media-media tempatan.

Mengikut laporan akhbar tempatan, timbul banyak spekulasi yang mengatakan Oliver mungkin seekor sub spesies cimpanzi atau ‘missing link’ di antara manusia.  Setelah diperkenalkan pihak media, ia menjadi buah mulut sehingga tersebar ke seluruh dunia.

Kisah Oliver menjadi perhatian dunia.
Oliver sewaktu dibawa ke Jepun pada 1976.

Pada tahun 1989, Oliver dibeli oleh sebuah syarikat yang mengendalikan urusan sewa beli pelbagai jenis haiwan untuk penyelidikan sains dan kosmetik.  Bagaimanapun, syarikat ini tidak pernah menggunakan cimpanzi ini untuk sebarang penyelidikan. Sebaliknya, ia dikurung dalam sebuah kandang kecil sehingga menyebabkan Oliver jatuh sakit.

Hanya pada tahun 1996, Oliver dibebaskan atas usaha sebuah organisasi perlindungan haiwan, Primarily Primates. Cimpanzi itu dipindahkan dan dibawa ke pusat perlindungan yang lebih sesuai milik organisasi tersebut.

Sejak itu, Oliver menjadi perhatian para pengkaji yang tertanya-tanya apakah identiti sebenar cimpanzi ini. Benarkah ia tergolong dalam sub spesies ‘missing link’ atau sejenis makhluk yang dikenali sebagai bigfoot? Benarkah kepercayaan masyarakat tempatan yang percaya Oliver mungkin sejenis makhluk hibrid (kacukan) yang terhasil antara manusia dan cimpanzi?

Oliver bersama penjaganya.

Pada tahun 1927, seorang saintis dari Rusia, Ilya Ivanovich Ivanov, pernah melakukan penyelidikan mengenai makhluk hibrid. Ivanovich telah menyuntik sperma manusia ke dalam organ pembiakan tiga ekor cimpanzi betina. Malangnya, percubaan itu gagal apabila tiada sebarang tindak balas berlaku.

Terdapat juga khabar angin yang mendakwa wujud seekor cimpanzi hibrid yang berjaya dihasilkan di sebuah makmal di China. Dikatakan cimpanzi hibrid itu gagal diselamatkan dan mati sebelum sempat dilahirkan. Tidak diketahui kesahihan kisah tersebut.

Namun, kisah serupa juga diceritakan oleh ahli psikologi dari Universiti Albany di New York, Gordon Gallup, yang menyatakan teknologi hibrid pernah diusahakan di Florida pada tahun 1920 an. Difahamkan, kajian tersebut berjaya dilakukan oleh seorang saintis dari National Primate Research Center, Robert Yerkes. Namun, makhluk itu tidak dapat hidup lama kerana dibunuh oleh Yerkes sendiri.

Ekoran pelbagai spekulasi yang timbul, organisasi yang melindungi Oliver memutuskan untuk mengakhiri dakwaan itu dan melakukan kajian ke atas cimpanzi tersebut. Penyelidikan itu dilakukan oleh pakar genetik dari University of Chicago, Dr. David Ledbetter.

Berdasarkan ujian yang dilakukan terhadap sel di dalam badan Oliver mendapati, ia didominasi sel kromosom cimpanzi. Selain itu, keunikan wajah dan tengkorak Oliver masih kekal sebagai seekor mawas Afrika. Hasil penelitian itu diumumkan dalam American Journal of Physical Anthropology sekali gus mengakhiri pelbagai spekulasi mengenai keanehan Oliver.

Oliver menghabiskan sisa usianya di pusat perlindungan haiwan Primarily Primate di Texas. Sewaktu usianya melebihi 50 tahun, ia sudah cukup tua untuk seekor cimpanzi. Matanya sudah hampir buta dan tubuhnya sudah tidak sihat lagi seperti dulu.

Oliver juga menghidapi penyakit radang sendi sehingga ia tidak mampu lagi berjalan menggunakan kedua kakinya. Pada 2 Jun 2012, Oliver akhirnya menghembuskan nafas terakhir di dalam tidurnya ketika berusia 55 tahun. Tamatlah riwayat seekor cimpanzi yang pernah menggemparkan dunia suatu ketika dulu kerana dikatakan mempunyai banyak persamaan dengan manusia.

Keadaan Oliver yang uzur di penghujung usianya. Ujian saintifik mendapati Oliver sama seperti mawas lain, menepis segala teori keganjilan yang dikaitkan dengannya selama ini.
Oliver ketika ‘muda’ sering menjadi bahan pameran dan persembahan untuk tontonan ramai.
Terbukti Oliver hanyalah cimpanzi biasa, bukan ‘kacukan’ seperti yang didakwa.

________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/