Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa beramah mesra dengan sebahagian wakil media pada Majlis Apresiasi bersama Pengamal Media di Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) merancang untuk memberi peranti berkualiti tinggi dalam skim pemberian bantuan PerantiSiswa Keluarga Malaysia kepada pelajar golongan B40 di institusi pendidikan.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, hal itu selepas pihak kementerian memperincikan anggaran jumlah penerima PerantiSiswa daripada 600,000 kepada 400,000 orang.

Jelas beliau, sasaran awal untuk memberi peranti yang berharga kira-kira RM700 tidak sesuai memandangkan pelajar memerlukan peranti yang lebih berkualiti dan berprestasi tinggi.

“Berdasarkan bajet RM450 juta, kita mengandaikan untuk memberi peranti berharga RM600 ke RM700 dengan sasaran 600,00 set.

“Begitupun, selepas angka itu diperincikan, kita dapati jumlah pelajar B40 berdasarkan angka rasmi yang ada pada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) jauh lebih rendah.

“Jadi kita bercadang untuk membuat perolehan bagi mendapatkan peranti yang berkualiti tinggi dan dengan itu jumlah yang kita anggarkan pada ketika ini lebih kurang 400,00 set,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Apresiasi Pengamal Media hari ini.

Baca artikel berkaitan: Permohonan PerantiSiswa Keluarga Malaysia mulai 15 April

Mengulas lanjut, Annuar berkata, pihaknya turut menerima permohonan untuk memperluaskan Skim PerantiSiswa itu kepada institusi pendidikan lain dalam negara.

Jelas beliau, antara institusi berkenaan ialah Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan.

Menurut Annuar, berdasarkan permohonan yang dibuka bermula 15 April hingga 15 Mei lepas, terdapat permohonan daripada pelajar institusi di bawah kementerian berkenaan.

“Untuk fasa pertama, kita akan berikan PerantiSiswa kepada pelajar B40 di bawah KPT iaitu institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), politeknik serta kolej komuniti manakala untuk fasa kedua, kita pertimbangkan untuk beri kepada institusi lain pula.

“Kalau ada kapasiti yang cukup (peranti) dengan siling (belanjawan) yang diberikan kepada K-KOMM, kita bersedia untuk perluaskannya berdasarkan permintaan (permohonan),” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram