BEKAS Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti (SC) baharu mulai 1 Jun depan.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, pelantikan Awang Adek itu susulan peletakan jawatan Datuk Syed Zaid Syed Jaffar Albar berkuat kuasa 31 Mei ini.

Menurut Kementerian Kewangan, Awang Adek dilantik selama tiga tahun sehingga 31 Mei 2025 selaras dengan Seksyen 4(2) Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (Akta 498).

“Kementerian Kewangan telah menerima peletakan jawatan Syed Zaid yang akan berkuatkuasa pada 31 Mei.

“Sehubungan itu, Kementerian Kewangan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas sumbangan serta khidmat bakti beliau sepanjang tempoh sebagai Pengerusi Eksekutif SC sejak 1 November 2018.

“Bagi memastikan peralihan yang lancar dan teratur serta kesinambungan pentadbiran, Kementerian Kewangan telah melantik Awang Adek sebagai Pengerusi Eksekutif SC yang baharu.

Baca artikel berkaitan: Suruhanjaya Sekuriti akan dapatkan penjelasan Azam Baki

“Berbekalkan pengalaman yang ada, Kementerian Kewangan yakin Awang Adek mampu memberi sumbangan cemerlang demi memastikan SC mencapai matlamatnya untuk menjadi organisasi yang berprestasi tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Kewangan antara tahun 2006 hingga 2013, Awang Adek berpengalaman selaku Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM); bekas ahli Lembaga Pengarah SC; bekas Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Ketua Pengarah pertama Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Pesisir Labuan (LOFSA).

Awang Adek berkelulusan Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Ekonomi University of Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS) mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang pasaran modal serta kewangan Islam.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke AS pada 2014 hingga 2016.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram