Mohd Shuhaily Mohd Zain (tengah) pada sidang media berkenaan rampasan dadah di sebuah oremis kedai bundle di IPK Pulau Pinang hari ini./Gambar FB PDRM Pulau Pinang

POLIS Pulau Pinang menumpaskan sindiket pengedaran dadah bernilai hampir RM1 juta yang berselindung di sebalik kedai pakaian ‘bundle’, dalam beberapa siri serbuan di kawasan Seberang Perai Tengah sejak 25 April lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pada 4 pagi 25 April dan 3 pagi 27 April, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Tengah telah melancarkan operasi terancang di kawasan Bukit Mertajam.

Menurutnya, beberapa siri serbuan yang dilakukan dalam tempoh itu, telah membawa kepada rampasan 17 bungkusan dadah syabu dengan anggaran berat 16,707.6 gram (g) bernilai RM601,473.50, dua paket plastik dadah ganja seberat 41g bernilai RM102.50 dan 149 bungkusan dadah jenis ganja dengan anggaran berat 151,114g bernilai RM377,785.

“Jumlah nilai rampasan dadah adalah RM979,361 dan polis turut menahan lima lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing yang berumur diantara 22 hingga 55 tahun, dalam siri serbuan itu.

“Tiga kenderaan yang bernilai RM45,000 turut disita,” katanya kepada pemberita di Pulau Pinang hari ini.

Mohd Shuhaily berkata lokasi utama serbuan adalah di sebuah rumah kedai tiga tingkat di kawasan Bukit Mertajam, yang menjadikan kedai pakaian bundle sebagai stor penyimpanan dadah.

Baca: Polis rampas dadah bernilai RM7.74 juta di Kedah dan Pulau Pinang, tahan sembilan suspek

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket ini menyewa rumah kedai itu dengan RM1,500 sebulan dan melakukan perniagaan kedai pakaian ‘bundle’, untuk mengaburi pihak berkuasa di sebalik aktiviti haram itu.

Beliau berkata hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket ini telah bergiat aktif sejak Januari tahun ini dan dipercayai bekalan dadah ini adalah untuk kegunaan tempatan.

“Siasatan masih dilakukan untuk mengenal pasti jumlah anggota sindiket dan polis percaya bekalan dadah ini diseludup masuk dari negara jiran,” katanya.

Beliau berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga yang ditahan positif dadah Methamphetamine, Morphine dan Tetrahydrocannabinol (THC) manakala semakan rekod lampau mendapati lima yang ditahan mempunyai rekod dadah dan jenayah.

Katanya, kesemua mereka akan direman selama tujuh hari bermula 25 April mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

— BERNAMA