
BUNYI letupan kuat sebanyak dua kali sebelum api marak yang menyebabkan kebakaran dua rumah jenis Semi-D di Jalan Permatang Badak Perdana 2, Kuantan awal pagi tadi.
Sedihnya, tragedi waktu sahur itu turut mengorbankan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun manakala lima lagi cedera.
Sehubungan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang akan menyiasat dari pelbagai aspek punca letupan kebakaran termasuk kemungkinan disebabkan pembakaran mercun dan bunga api.
Bomba pada masa sama mengingatkan punca letupan boleh juga diakibatkan beberapa bahan lain seperti dapur gas memasak dan bahan lain.
Apa pun, skala kebakaran itu cukup dahsyat dengan dua rumah itu hangus sama sekali di samping beberapa kenderaan juga terbakar.
Pengarah JBPM Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, punca letupan itu belum dapat disahkan kerana terdapat beberapa bahan yang boleh menyebabkan berlakunya letupan termasuk mercun.
“Kalau kita lihat dalam kejadian ini, mungkin ada satu bahan yang menyebabkan berlaku letupan sama ada dari dapur masak gas atau bahan-bahan lain dan kita masih siasat.
“Kita akan jalankan siasatan terperinci supaya dapat pengesahan apa yang sebabkan punca letupan.
Baca: Tiga cedera dalam kebakaran di stor simpanan IPD Sentul
“Kalau saya tengok ada selinder gas, bahan bunga api …kalau betul bunga api dan mercun banyak mana kapasitinya sehingga menyebabkan kejadian letupan yang begitu teruk,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian seperti dilapor Bernama.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Operasi) JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata mangsa yang cedera terdiri daripada dua lelaki, dua wanita serta seorang bayi perempuan berusia lapan bulan.
“Bomba dimaklumkan mengenai kejadian pada pukul 3.15 pagi dan kebakaran melibatkan rumah jenis Semi-D dengan sebuah daripadanya terbakar 100 peratus manakala sebuah lagi musnah 90 peratus.
“Turut terjejas dalam kebakaran itu ialah tiga kenderaan dengan satu daripadanya hangus sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail berkata dua jentera bomba dan sebuah lori tangki air bersama-sama kekuatan 18 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Kuantan serta Indera Mahkota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Dalam perkembangan sama, saksi kejadian Faridah Mamat, 56, berkata beliau terdengar bunyi letupan kuat sebanyak dua kali ketika sedang memasak juadah sahur pada kira-kira 3 pagi tadi.
Katanya ketika letupan kedua, beliau bergegas keluar dari rumah dan melihat api sudah mula marak dan kedengaran jirannya meminta tolong, namun tiada sesiapa yang berani menghampiri kerana bimbangkan keselamatan diri.
“Api kelihatan sangat marak, rasa macam duduk di tempat perang, nak tolong pun kami takut, semua hanya duduk di depan rumah masing-masing sementara tunggu kedatangan bomba.
“Bagaimanapun, jiran saya iaitu pasangan suami isteri dan bayi mereka berusia lapan bulan yang cedera di dahi berjaya menyelamatkan diri dan saya bawa mereka ke hospital untuk mendapatkan rawatan,“ kata peniaga itu yang telah menetap di situ sejak lapan tahun lepas.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram