PATAH hati peminat-peminat MK K-Clique, susulan entri yang dimuat naik dirinya bersama seorang wanita jelita yang didedahkan sebagai cinta hatinya baru-baru ini.

Perkongsian yang dimuat naik oleh penyanyi itu mendapat perhatian netizen sehingga memperoleh lebih daripada 170 ribu tanda suka dan lebih empat ribu komen di akaun Instagramnya.

MK, atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan, 25, turut memuat naik kapsyen yang berbaur romantik di kapsyen tersebut, sekaligus membuatkan ramai peminat patah hati.

“Saya sayang awak!”, tulisnya.

Susulan hantaran yang dimuat naik itu, ramai rakan artis memberikan komen yang baik-baik dan mendoakan jodoh pasangan merpati dua sejoli itu berpanjangan.

“Nanti kenduri saya jaga catering (katering) ya”, ujar penyanyi Zynakal berseloroh.

“Wow! Saya tumpang bahagia untuk kamu kawan!”, tulis pelakon Elly Arifin .

“Diharap semua dapat bersabar di bulan yang mulia ini”, kata Somean K-Clique kepada peminat-peminat yang patah hati susulan ‘posting’ yang dimuat naik itu.

Ramai lagi rakan artis yang mendoakan kebahagiaan penyanyi dan pelakon kelahiran negeri Sabah itu bersama wanita berkenaan yang memegang akaun @hajaarsitii di laman Instagram.

Dalam perkembangan lain, MK akan bersama pelakon Zara Iman, Azira Shafinaz, Zalif Sidek, Kazar dan ramai lagi dalam filem bergenre romantik komedi terbaru arahan Wan Hafiz berjudul Bunga dan Kayu di Astro First tidak lama lagi.