DATUK Seri Dr Adham Baba bersama para pelajar dan tetamu pada majlis pelancaran Skuad Dron Sekolah dalam program 'Terbang bersama Meraque' di Majlis Daerah Kota Tinggi, Bandar Tenggara, Kulai, Johor, Ahad lepas.

MERAQUE Services Sdn Bhd (Meraque), syarikat teknologi dron Malaysia menaja dron pendidikan dan modul kesedaran asas dron untuk dilaksanakan di tiga buah sekolah di Johor sebagai permulaan usaha mencungkil bakat muda dalam teknologi tersebut di seluruh negara.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Meraque dikenali sebagai ‘Terbang bersama Meraque’ (Fly with Meraque) itu bertujuan melengkapkan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran berkaitan teknologi dron untuk menjamin kerjaya masa depan mereka.

Ia selaras dengan inisiatif DroneTech Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang meletakkan matlamat mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan dalam industri dron negara menjelang 2030.

‘Terbang bersama Meraque’ merupakan perkongsian melalui inisiatif ‘Skuad Dron Sekolah’ yang dilaksanakan bersama Kelab Belia Udara Malaysia (KRUM) – sebuah kelab kurikulum dengan matlamat mewujudkan kesedaran teknologi dron dalam kalangan pelajar sekolah menengah di seluruh negara. Program tersebut disokong oleh Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), sebuah agensi yang menjalankan usaha-usaha pembangunan bakat muda tempatan dalam bidang teknologi dron.

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan pembangunan bakat dron tempatan oleh Meraque, program tersebut akan membantu menyemai minat pelajar dalam teknologi dron dan juga aplikasi berkaitannya.

Sukatan pelajaran yang akan disampaikan oleh KRUM melalui aktiviti kokurikulum kelab dron tersebut akan melengkapkan, menyokong dan meningkatkan keupayaan dan pengetahuan pelajar melalui kursus dron yang inovatif, kemahiran zaman baharu dan menyediakan peluang pekerjaan masa depan.

‘Terbang bersama Meraque’ telah dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba pada 24 April lepas di Majlis Daerah Kota Tinggi, Bandar Tenggara, Kulai. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh; ADUN Panti (N34), Hahasrin Hashim dan Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Omar Salleh.

BERITA BERKAITAN Meraque latih 500 belia untuk industri dron negara

Dr Adham Baba berkata, kementeriannya akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan mengenai program tersebut dalam usaha kerajaan memperkemaskan sukatan pelajaran sedia ada dan seterusnya menarik minat pelajar di seluruh negara mengikuti subjek STEM di sekolah.

“Saya dimaklumkan Kementerian Pendidikan akan membawa memorandum mengenai STEM kepada kabinet dan kegunaannya kepada kerajaan tidak lama lagi, kami (MOSTI) akan mencadangkan agar teknologi dron seperti reka bentuk, penggunaan dan Kepintaran Buatan (AI) turut dimasukkan dalam STEM … dalam kurikulum dan juga kokurikulum sekolah,” katanya.

Selain daripada dron, sumbangan Meraque kepada sekolah juga melibatkan penyediaan modul latihan dron, peluang kerjaya, kelas intensif, lawatan sambil belajar dan aktiviti kelab. Lebih 600 pelajar dari SMK Sultan Alauddin di Felda Bukit Besar, Kulai; SMK Seri Pinang di Bandar Tenggara, Kulai dan SMK Taman Scientex, Pasir Gudang akan mendapat manfaat daripada sumbangan tersebut.

Manakala, lebih 7,000 pelajar yang mendaftar dengan Kelab Rakan Udara Malaysia dengan sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) juga akan mendapat faedah daripada modul tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Meraque, Md Razalee Ismail berkata: “Meraque sentiasa komited kepada aktiviti yang bermanfaat untuk masyarakat melalui program pendidikan dron. Kami percaya pelaburan terhadap pelajar untuk memupuk minat mereka terhadap teknologi itu sangat berbaloi kerana mereka akhirnya akan menjadi peserta industri masa depan bersama-sama syarikat kami. Program CSR ini juga akan meningkatkan juga tahap pengajaran yang boleh kami tawarkan kepada pelajar.”

“Menurut kajian terbaru oleh MRANTI, ekonomi dron Malaysia dijangka menyumbang RM50 bilion kepada KDNK menjelang 2030. Untuk mendapat manfaat dalam peluang yang semakin meningkat ini, Malaysia sebagai sebuah negara, perlu meningkatkan bilangan pekerja mahir dengan pantas dalam sektor tersebut.

“Dengan menyediakan pendedahan awal kepada pelajar mengenai teknologi dron melalui kurikulum yang dibimbing dan selamat, kami berharap dapat melengkapkan mereka dengan set kemahiran yang diperlukan untuk bersedia memasuki industri tersebut dan akhirnya mendedahkan mereka kepada peluang kerjaya masa depan. Program CSR ini merupakan sebahagian daripada komitmen Meraque untuk mempelopori pembangunan modal insan dalam industri teknologi dan pembuatan,” tambahnya.

Presiden Kelab Belia Udara Malaysia (KRUM), Azhar Selamat berkata: “Inisiatif oleh Meraque ini akan memberi kesan positif kepada perjalanan negara untuk membangunkan generasi baharu yang mempunyai minat terhadap dron dan kebolehan menguasai teknologinya.

“Ini hanyalah sebahagian daripada pelan strategik jangka panjang yang telah disesuaikan oleh KRUM dan Meraque khusus untuk Skuad Dron Sekolah Belia. Perkongsian kepakaran dan sukatan pelajaran yang dibimbing secara langsung akan memberi pendedahan kepada para peserta, meningkatkan pengetahuan dron dan seterusnya melonjakkan kerjaya mereka dalam bidang tersebut.”

Awal tahun ini, Meraque mengumumkan kerjasama dengan Kelab Belia Udara Malaysia, Majlis Belia Malaysia dan Pejabat Penyelaras Parlimen Tenggara untuk melahirkan 500 belia menjelang 2023 yang mampu memenuhi permintaan industri dron negara melalui program latihan dan kemahiran. Program Pembangunan Kerjaya, Teknologi Dron Generasi Muda Malaysia dimulakan dengan pengambilan peserta selama dua hari, pameran dron dan demonstrasi dron pertanian.

Meraque juga menyediakan latihan dron yang diperakui Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) untuk orang dewasa yang ingin mengembangkan kemahiran mereka. – UtusanTV