Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya. GAMBAR: Abd Razak Aid

SIASATAN bukan bermakna individu tersebut telah melakukan kesalahan – respons Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Ia berkaitan isu siasatan terhadap seorang hakim yang dibangkitkan oleh segelintir pihak sehingga mendapat perhatian umum baru-baru ini

Menurut SPRM, pihaknya bertanggungjawab untuk mengesahkan dan menyiasat sesuatu laporan atau aduan rasmi yang telah dibuat melibatkan perkara-perkara di bawah bidang kuasanya.

Menjelaskan lebih lanjut, SPRM berkata, mereka perlu menjalankan siasatan apabila aduan diterima berdasar prosedur ditetapkan.

Malah, kenyataan itu juga menegaskan SPRM telah diberikan kuasa untuk menyiasat kes jenayah rasuah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 termasuk siasatan terhadap ‘pegawai badan awam’ – yang turut merangkumi hakim.

Ia sekaligus menepis dakwaan beberapa pihak termasuk Majlis Peguam yang membangkitkan siasatan ke atas hakim tersebut oleh SPRM sebagai tidak berperlembagaan.

Jelas SPRM, hakim termasuk ‘pegawai badan awam’ seperti mana tafsiran dalam Seksyen 3 Akta SPRM yang seperti berikut:

i. Pegawai badan awam” ertinya mana-mana orang yang menjadi anggota, pegawai, pekerja atau pekhidmat sesuatu badan awam, dan termasuklah anggota pentadbiran,

ii. ahli Parlimen,

iii. ahli sesuatu Dewan Undangan Negeri,

iv. hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan,

v. dan mana-mana orang yang menerima apa-apa saraan daripada wang awam, dan, jika badan awam itu ialah suatu perbadanan seorang, termasuklah orang yang diperbadankan sebagai perbadanan itu.”

Baca: Hakim Mohd Nazlan buat laporan polis artikel Malaysia Today

Siasatan SPRM terhadap Hakim Mohd Nazlan tidak ikut perlembagaan – Badan Peguam Malaysia

Kritikan terhadap badan kehakiman kebelakangan ini agak keterlaluan – Tengku Maimun

“Selaras dengan prinsip pengasingan kuasa, setelah semua proses siasatan selesai dilakukan, kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk membuat keputusan sama ada melakukan pendakwaan atau sebaliknya,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, kenyataan tersebut memaklumkan SPRM juga telah mempunyai rekod menyiasat hakim yang mana kertas siasatan berkaitan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk membuat penilaian.

“Berhubung siasatan terhadap hakim tersebut, SPRM telah menerima satu aduan pada 15 Mac 2022 disusuli dua lagi aduan pada 23 dan 27 April 2022. Siasatan ini masih berada di fasa awal dan melibatkan kepentingan awam.

“Harus dijelaskan bahawa apabila sesuatu siasatan dijalankan terhadap mana-mana individu, ia tidak bermakna individu tersebut telah melakukan kesalahan,” kata suruhanjaya tersebut.

Sehubungan itu, SPRM memohon masyarakat umum memberi ruang untuk proses siasatan dijalankan mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram