PENANTIAN Blink bakal berterusan apabila syarikat label muzik YG Entertainment menafikan spekulasi yang menyatakan kumpulan K-pop wanita popular, Blackpink akan muncul dengan karya terbaharu pada Jun ini.

Blackpink, yang terdiri daripada empat orang anggota iaitu Jennie, Lisa, Jisoo dan Rose dikatakan bakal mengeluarkan album terbaru mereka pada bulan Jun tanpa memberikan tarikh yang spesifik.

Pada awalnya, salah seorang ahli kumpulan mereka, Jennie menyatakan kepada peminat untuk menunggu kedatangan semula kumpulan itu ketika muncul dalam sebuah program The Game Caterers di saluran Youtube, bulan lepas.

“Saya tak pasti perkara ini boleh dihebohkan atau tidak.

“Tapi kami (Blackpink) bakal buat ‘comeback’. Nantikan,” ujar penyanyi yang terkenal dengan lagu Solo itu.

Spekulasi ini bertambah hangat apabila salah seorang ahli kumpulan Girls Next Door, Jeon Somi secara tidak sengaja mendedahkan sebuah trek lagu Blackpink yang belum dikeluarkan secara langsung menerusi Instagramnya pada 3 Mac lalu.

Walau bagaimanapun, YG Entertainment menafikan perkara terbabit dan menyatakan jadual kemunculan semula Blackpink masih belum diputuskan.

“Ramai pihak menghebohkan khabar angin menyatakan mereka (Blackpink) akan membuat ‘comeback’ pada bulan Jun ini, namun perkara ini belum diputuskan secara rasmi.

“Walau bagaimanapun, kami memang sedang dalam perancangan untuk kemunculan semula Blackpink.

“Apabila tarikh yang spesifik sudah dikemaskini dan diputuskan, kami akan berikan data yang rasmi”, kata kenyataan media tersebut.

Untuk rekod, album terakhir yang dikeluarkan Blackpink adalah pada Oktober 2020 berjudul The Album yang menampilkan beberapa lagu popular seperti How You Like That dan Ice Cream.