Syakir Hashim (kiri) dan Juliana Abu Bakar

WAHED, sebuah syarikat teknologi kewangan global hari ini mengumumkan pelantikan Juliana Abu Bakar sebagai Ketua Pengurus Negara untuk Wahed Malaysia yang baharu.

Manakala, Syakir Hashim yang menubuhkan operasi Wahed di Malaysia akan menyertai pengurusan kumpulan syarikat sebagai Naib Presiden Kanan Operasi Perniagaan Wahed.

Juliana sebelum ini merupakan Ketua Pengurus E-Wallet Digital Touch ‘n Go yang terlibat dalam pembangunan dan pengendalian E-Wallet Touch ‘n Go dan tanggungjawabnya kini adalah melaksanakan strategi pertumbuhan dan pemasaran Wahed di Malaysia.

Syakir berkata, Wahed Malaysia adalah salah satu pengurus pelaburan digital terkemuka di negara ini dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam urusan bersama Wahed Malaysia sebelum ini.

“Saya memulakan tanggungjawab baharu saya dengan selesa kerana saya tahu bahawa saya menyerahkan operasi Malaysia kami di tangan yang baik iaitu kepada Juliana,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Wahed Malaysia telah menyediakan perkhidmatan kepada ratusan ribu pelabur ke platformnya. Ia adalah platform pengurusan pelaburan digital berlesen yang patuh Syariah. – UtusanTV