SELEPAS jurulatih beregu negara, Flandy Limpele meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) awal bulan ini, kem badminton negara sekali lagi terpaksa menerima hakikat pahit.

Ini selepas jurulatih beregu campuran, Paulus Firman pula sah meninggalkan skuad kebangsaan apabila membuat keputusan tidak menyambung kontraknya yang tamat esok.

Berita mengenai keputusan Paulus itu telah diumumkan BAM dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, berita terbaharu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana khabar angin Paulus telah membuat keputusan tidak menyambung kontrak telah bertiup kencang sejak awal bulan lagi.

Menurut BAM, jurulatih berusia 53 tahun yang telah bersama skuad kebangsaan sejak 2018 itu membuat keputsan tersebut kerana mahu menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga di Indonesia.

“BAM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Paulus atas sumbangannya untuk pencapaian bahagian beregu campuran dan beregu lelaki sejak beliau kembali ke Malaysia pada tahun 2018,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky turut mengucapkan terima kasih atas peranan penting dalam beregu campuran dan beregu lelaki.

Baca artikel berkaitan: Flandy Limpele tinggalkan skuad kebangsaan 1 April

“Beliau telah menyatakan hasrat untuk menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga di Indonesia.

“Kami sedang mencari dengan aktif calon sesuai untuk membina momentum yang telah ditinggalkan Paulus,” jelas beliau.

Paulus Firman dalam kenyataan sama turut berterima kasih atas peluang yang diberikan BAM sepanjang empat tahun berkhidmat di Malaysia.

“Selepas membuat pertimbangan dengan teliti, saya membuat keputusan tidak menyambung kontrak.

“Bagi saya, keluarga adalah segalanya, semua ini hanyalah untuk berehat daripada sukan dan menghabiskan lebih banyak masa bersama ibu bapa, keluarga dan anak-anak,” katanya.

Sebagai rekod, Paulus mula kembali ke pangkuan BAM pada 2018 dan ketika itu dia diberi tanggungjawab sebagai ketua jurulatih beregu lelaki sebelum ditukarkan kepada beregu campuran pada Mei 2020.

Sebelum itu, Paulus pernah bersama BAM selama 10 bulan pada 2013 namun meletak jawatan dan menerima tawaran sebagai ketua jurulatih Filipina.

Bekas jurulatih beregu campuran yang juga bekas atlet negara, Chin Eei Hui disebut-sebut sebagai calon utama menggantikan tempat Paulus Firman.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram