WALAUPUN tidak lagi memimpin skuad negara, pemain perseorangan nombor satu negara Lee Zii Jia masih menjadi sandaran utama dalam menentukan kejayaan Malaysia pada kempen Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand, bulan depan.

Penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli berkata, mata pertama daripada Zii Jia, yang bakal turun selaku pemain perseorangan utama negara dalam kejohanan di Impact Arena dari 8 hingga 15 Mei itu, amat penting dalam menyemarakkan semangat rakan sepasukannya untuk mencabar lawan mereka nanti.

Bagaimanapun, Pekan mengakui bimbang dengan prestasi semasa pemain nombor tujuh dunia itu yang dilihat masih belum mencapai tahap permainan terbaiknya sejak mengungguli Kejohanan All England 2021 di Birmingham, United Kingdom, tahun lepas.

“Kalau dahulu kita ada Datuk Lee Chong Wei sebagai perseorangan utama dan pemain lain boleh bergantung harap kepadanya, seterusnya bersedia untuk mencari mata berikutnya.

“Namun, bagi Zii Jia pula saya bayangkan pemain lain terpaksa bersedia dengan pelbagai kemungkinan dan tidak boleh mengharapkan beliau sahaja untuk meraih mata,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Malah, Pekan secara peribadi berpendapat bekas ketua pasukan pada edisi lepas di Aarhus, Denmark, itu sudah hilang sentuhan sejak ‘mengangkat kaki’ daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk meneruskan kariernya sebagai pemain profesional Januari lepas.

Beliau pada masa sama mengharapkan pemain berusia 24 tahun itu agar meningkatkan tahap permainannya dan ‘mematikan’ lawan dengan keputusan ‘straight set’ selepas dilihat sering bermain sehingga ke ‘rubber set’ sejak akhir-akhir ini.

Bukan sahaja Zii Jia, Pekan yang juga Ketua Seksyen Sukan Kementerian Pengajian Tinggi berkata prestasi pemain perseorangan lain dalam skuad negara juga dilihat kurang meyakinkan berbanding kem beregu, menjelang kejohanan berpasukan badminton berprestij itu.

“Daripada lima pemain perseorangan yang dipanggil, maaf cakap bagi saya Liew Daren kita tidak boleh terlalu mengharap (menyumbang mata) namun saya yakin Ng Tze Yong boleh menjadi senjata rahsia kita,” katanya.

Dua lagi pemain yang menyertai barisan akhir perseorangan negara adalah Aidil Sholeh Ali Sadikin dan Leong Jun Hao.

Mengenai kem beregu, Pekan optimis kehadiran semula pakar beregu Rexy Mainaky ke pangkuan BAM sejak akhir tahun lepas mampu melonjakkan prestasi pemain beregu untuk menyumbang mata buat Malaysia.

Katanya, Rexy yang juga Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM telah membuktikan sentuhan magisnya apabila membimbing Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk merangkul gelaran Jelajah Dunia pertama mereka pada Terbuka Jerman 2022, bulan lepas.

“Selain itu, biarpun Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang disenaraikan merupakan beregu profesional, saya percaya Rexy mampu memberi panduan berguna kepada mereka berdua untuk menjelmakan prestasi terbaik di Bangkok,” katanya.

Selain mereka, cabaran beregu negara akan turut digalas ketua pasukan Aaron Chia yang bergandingan dengan Soh Wooi Yik selaku beregu utama, selain seorang lagi pemain Chia Weijie.

Malaysia diundi bersama juara 2014 yang juga pilihan kedua kejohanan Jepun, selain England dan New Zealand dalam saingan Kumpulan D.

Sementara itu, Pekan merasakan skuad Piala Uber negara bakal berdepan tugas sukar pada kejuaraan  tersebut.

Katanya jurang besar antara pemain Malaysia dengan pasukan tuan rumah dan Denmark yang diundi dalam Kumpulan C, menyukarkan peluang mereka untuk mara ke peringkat suku akhir.

Namun, beliau menjangkakan pemain badminton wanita negara tidak berdepan masalah untuk mengatasi Mesir yang diundi dalam kumpulan sama.

— BERNAMA