JOHOR Darul Ta’zim (JDT) melakar sejarah baharu dalam arena bola sepak negara apabila muncul kelab negara pertama yang melayakkan diri ke pusingan kedua Liga Juara-Juara Asia (ACL), selepas menundukkan Ulsan Hyundai FC 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim petang tadi.

Gol pertama JDT hadir seawal minit kelima perlawanan, menerusi sepakan percuma Leandro Velazquez, selepas Bergson Da Silva dijatuhkan Won Dujae.

Namun skuad kendalian Benjamin Mora tidak sempat meraikan jaringan itu, apabila pasukan Korea Selatan meledak gawang tuan rumah seminit kemudian, sekali gus menyamakan kedudukan menerusi rembatan Jun Amano.

JDT hampir mendahului pada minit ke-24, namun demikian gol jaringan Fernando Forestieri itu tidak dikira pengadil Nawaf Abdulla Shukralla kerana dikatakan ofsaid selepas menerima umpanan Aqif Fazail.

Kedua-dua pasukan dilihat terus berhempas pulas dan tertekan untuk menambah jaringan masing-masing dengan melakukan serangan bertubi-tubi, namun gagal meledak gawang.

Bagaimanapun, pada ketika perlawanan hampir berkesudahan dengan seri dan menyebabkan JDT terkeluar dari persaingan, serangan terakhir pasukan itu pada minit ke-94 menerusi Arif Aiman Hanapi ke dalam kotak penalti, telah ditolak masuk ke gol sendiri oleh Park Yong-Woo, sekali gus memberikan gol kemenangan kepada JDT pada minit ke-94.

Sementara itu, pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Kawasaki Frontale dari Jepun mencatat kemenangan ketiga apabila menumpaskan pasukan di kedudukan tercorot, Guangzhou FC 1-0.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram