Sebanyak lima permohonan cerai diterima daripada pasangan Islam dalam tempoh satu jam setiap hari di seluruh negara, Dewan Rakyat diberitahu. GAMBAR HIASAN

“AKHIR akhir ini memang terdapat banyak agensi kerajaan seperti Jabatan Bantuan Guaman (JBG), Biro Sokongan Keluarga (BSK) termasuklah dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Telenisa, Persatuan Ibu Tunggal Negeri dan juga peguam persendirian yang bergerak aktif dan ingin memperjuangkan hal berhubung hak ibu tunggal lepas bercerai.

“Mereka bergerak bukan setakat melalui pertubuhan masing-masing, malah ada yang memberi penerangan di dalam media sosial.

“Langkah ini cukup memberangsangkan terutama kepada ibu tunggal yang tidak pernah kenal hak mereka selepas bercerai. Kalau pun ada yang tahu, tetapi tidak berani membawa kes mereka ke tengah apa lagi berhadapan dengan Mahkamah Syariah.

“Sebabnya, mereka tidak ada keberanian, tiada sokongan keluarga atau kenalan, ada yang malu, tidak ada wang dan tak kurang juga yang tidak faham cara atau langkah patut mereka ikut. Untuk meminta pertolongan peguam bukan mudah kalau tidak ada wang. Hasilnya ramai yang terpaksa makan diri dan menyesali nasib, selain memaki bekas suami.

“Tetapi kepada Kelab Sokongan Ibu Tunggal (KSIT) yang telah bergerak sejak tahun 2016 lagi, kami telah lama menjalankan aktiviti untuk beri penerangan, membimbing, membantu dan beri panduan kepada kebanyakan ibu tunggal bagaimana mengenali serta mengetahui akan hak-hak mereka selepas perceraian.

“Bahkan dengan pengenalan dan tunjuk ajar serta bimbingan yang diberikan KSIT sejak sekian lama, telah membawa banyak kejayaan kepada ibu tunggal untuk mendapatkan hak mereka di Mahkamah Syariah melalui usaha gigih mereka membela diri sendiri di hadapan hakim.’’

Itu antara aktiviti KSIT, seperti yang diterangkan oleh Puan Jamimi, salah seorang ahli KSIT yang juga merupakan salah seorang ahli yang berjaya membawa kes tuntutan nafkahnya ke Mahkamah Syariah.

Katanya, dia sungguh bertuah terlibat secara aktif dalam KSIT dan beroleh kejayaan, kalau sebelumnya, dia tidak pernah tahu hak selepas bercerai.  

Katanya lagi, terdapat juga kes di mana ibu tunggal perjuangkan sendiri di mahkamah tanpa melalui khidmat peguam namun masih tergantung di Mahkamah Syariah disebabkan kerenah birokrasi tertentu, terutamanya bila bekas suami gagal hadir ke mahkamah.

Luahnya lagi, apabila banyak kes tergantung, maka keraguan mula timbul di dalam hati ibu tunggal. Terdapat  juga kes yang dibicarakan secara atas talian  yang mana kaedah ini amat merunsingkan mereka.

“Ini adalah kerana kebanyakan ibu tunggal tidak bekerja, kedudukan kewangannya amatlah runcing dan bukan semua ibu tunggal ada kelebihan memiliki dan mampu untuk menggunakan telefon canggih untuk berbicara secara atas talian talian.

“Disebabkan kekeliruan seperti ini lah, maka harapan ramai ahli KSIT, tolonglah pihak-pihak sepertimana yang telah disebutkan di atas tadi (JBG, BSK, KPWKM, NGO) jangan tambahkan lagi kekeliruan apabila membicarakan hak ibu tunggal baik tentang nafkah, harta sepencarian dan sebagainya.

“Setiap ibu tunggal membawa kes yang berlainan jalan ceritanya dan lebih penting, mereka tidak melalui hakim bicara yang sama bahkan enakmen undang-undang antara satu negeri dengan negeri yang lain juga berbeza. Akhirnya mereka ini akan bertambah keliru kerana pandangan ‘orang orang tertentu’.

“Apa yang Kelab Sokongan Ibu Tunggal KSIT lihat ialah, tidak perlulah agensi-agensi kerajaan seperti KPWKM, JBG dan BSK serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hanya menekankan hak selepas perceraian sahaja. Biarlah JBG dan BSK buat kerja hakiki mereka dan jangan tambahkan lagi kesulitan serta kekeliruan fungsi dan peranan sesebuah agensi itu kepada ibu tunggal.

“Apa yang KSIT perlukan sekarang ialah bagaimana untuk memastikan pihak Mahkamah Syariah dapat melaksanakan secara tuntas dan keberkesanan  perintah-perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah itu sendiri agar bukanlah sekadar kemenangan di  atas kertas sahaja, sedangkan hasil yang dimenangi masih belum pasti bila boleh di perolehi.

“Ini adalah kerana masih ada lagi kes yang mana setelah perintah diperolehi dari mahkamah syariah, malangnya ibu tunggal tetap terpaksa turun naik mahkamah semula untuk tindakan susulan atau pemfailan baharu akan keputusan yang telah mereka   menangi.

“Apa yang telah dan sedang diperjuangkan oleh KSIT selain menuntut hak selepas perceraian, KSIT amat berharap agar Perlaksanaan Perintah Penghakiman yang telah dimuktamadkan oleh Yang Arif Hakim Bicara mestilah diberi perhatian serius oleh agensi penguatkuasa yang diamanahkan.

“Sebab realitinya, masih terdapat banyak kelompongan dalam Perlaksanaan Perintah Penghakiman ini. Jelas sekali terdapat ramai bekas suami yang tidak ambil berat dan tidak peduli langsung akan perintah penghakiman ini. Pada mereka `nak takut apa!!!

“Ada juga majikan yang langsung tidak tahu kes pegawai bawahan mereka sebab Perintah Penghakiman ini tidak semuanya  sampai kepada majikan. Dan secara langsung ianya tidak menjejaskan buku perkhidmatan dan kerjaya bekas suami.

“Malah ada juga pakatan dilakukan oleh sesetengah bekas suami untuk menegah dan tidak menyampaikan perintah penghakiman kepada majikan.

“Sebagai contoh, ada kes tuntutan nafkah anak yang diperjuangkan sejak dari tahun 2013 sehingga kini masih lagi belum selesai meskipun si isteri telah berjaya (menang) dalam permohonan Saman Penghutang Penghakimannya.

“Jadi bagaimana nasib si anak (pemegang kad OKU)  untuk mendapatkan hak belajar dan hak meneruskan  kehidupan dengan tenang jika si bapa sengaja mengabaikan hak  anaknya untuk mendapatkan nafkah ?

“Ada juga ibu tunggal yang terpaksa turun naik mahkamah semula meskipun mereka sudah dapat perintah Penghakiman Mut’ah tetapi bekas suami masih enggan membuat bayaran ataupun tidak mahu langsung membayar tuntutan.

“Lebih malang lagi, ada juga bekas suami yang membayar sekadar buat syarat sahaja iaitu bayar secara runcit-runcit mengikut kadar dan masa terluang, tidak seperti yang diputuskan dalam Perintah Penghakiman. Pada pandangan KSIT, Mut’ah tidak wajar dibayar secara ansuran kerana ia ialah nilai pengorbanan seorang isteri.

“Jadi bagaimana si ibu bersama anak-anak mahu meneruskan kehidupan baharu jika hak mut’ahnya pun bekas suami gagal lunaskan?

“Masalah ini membuatkan KSIT ingin bertanya mungkin Mahkamah Syariah boleh memberi jawapannya iaitu jika Perintah Penghakiman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah pun tidak dipedulikan,  maka dimanakah silapnya?

“Adakah kerana Perintah Penghakiman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah itu kurang tegas, tidak terperinci, terlalu banyak kerenah birokrasi atau pihak mahkamah tidak peka dengan kesengsaraan bekas isteri dan anak-anak sehingga menyebabkan bekas suami merangkap si bapa kepada anak ini tidak takut dengan Perintah Penghakiman Mahkamah tersebut ?

“Sudah sampai masanya untuk kita mengharapkan agensi-agensi kerajaan terbabit termasuk NGO untuk turut sama memperjuangkan dan mengemukakan statistik keberkesanan Perlaksanaan Penguatkuasaan Perintah Penghakiman atas hak-hak tersebut.

“Harapan kami apabila satu Perintah Penghakiman itu dikeluarkan, tolonglah Mahkamah Yang Mulia Lagi Bijaksana itu, keluarkan satu perintah yang jelas dan terperinci. Contohnya bagi kes nafkah, selain menyatakan amaun patut bayar, tolonglah nyatakan tarikh patut bayar, kaedah bayaran serta keluarkan satu `amaran keras’ jika si bapa gagal mematuhi perintah mahkamah syariah, maka defendan/bekas suami akan dikenakan tindakan tegas seperti perintah komital sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang. 

“Tak perlulah mahkamah hendak tunggu si ibu tunggal yang telah menang kes terpaksa pula datang lagi untuk memfailkan Permohonan Perlaksanaan Perintah pula untuk mendapatkan perintah yang lebih tegas yang belum tentu bekas suami akan patuhi.

Itu harapan Puan Jamimi kepada mahkamah syariah, bukan tidak setuju dengan usaha badan bukan kerajaan mengadakan ceramah, penerangan dan sebagainya, tetapi tidak mahu lebih ramai ibu tunggal yang sedang menghadapi masalah di mahkamah menjadi lebih keliru kerana pandangan yang berbeza.   

“Seorang lagi ibu tunggal, Puan Sham melahirkan harapan agar kerenah birokrasi di mahkamah syariah perlu dikurangkan. Selain itu, adalah menjadi harapan agar kes ibu tunggal di mahkamah hendaklah diselesaikan dengan kadar segera bukannya tergantung bertahun-tahun lamanya tetapi masih tak selesai. Sedangkan anak-anak di rumah hendak makan, pakai dan belajar.

“Saya memang tak puas hati dengan prosedur dalam kes nafkah anak saya. Kes saya sudah berjalan dalam tempoh 8 tahun. Tetapi malangnya masih tergantung. Kes yang sama juga sudah saya bawa ke mahkamah sebanyak empat kali. Salah satu perintah ada pengendorsen yang menyatakan dengan jelas jika defendan ingkar dianggap menghina mahkamah dan boleh dikomitankan ke penjara.

“Begitu tegas dan kuat arahan dari mahkamah, tetapi itu cuma merupakan satu surat Perintah Mahkamah sahaja yang langsung tidak ada makna apa apa pun kepada bekas suami. Dia tidak pernah takut. Sebab katanya mahkamah sendiri tidak patuh dengan perintah yang mereka buat. Makna kata, bekas suami mendakwa mahkamah ‘no power’, apa takut?’’

“Saya lihat banyak juga program yang dianjurkan oleh Jakes, sesi bicara syariahlah, sesi itu sesi ini, yang ditujukan khas kepada mereka yang berhajat membuat tuntutan di mahkamah.

Tetapi apa faedahnya program tersebut jika tidak ada ketegasan oleh pihak mahkamah syariah sendiri.

“Baru-baru ini tersebar berita konon akan diadakan penahanan akaun bank atau bekukan akaun bekas suami yang tak bayar nafkah. Nampak memang cantik, semacam ada sinar harapan kepada ibu tunggal yang masih gagal dapatkan nafkah dari bekas suami.

“Tetapi hakikatnya untuk melalui proses tersebut tak ubah seperti `anjing menyalak bukit,’ cakap berdegar-degar tapi hampeh. Sedangkan perintah komital yang dikenakan kepada bekas suami pun amat payah untuk dilaksanakan oleh mahkamah syariah.

“Maaf cakap, pada pandanga saya secara peribadi dan bercakap dari pengalaman saya yang masih gagal dapat nafkah untuk anak, saya berpendapat, bahawa semua ini termasuk  masalah lewat dapat nafkah dan kes mahkamah banyak tertangguh adalah berpunca dari mahkamah sendiri yang tidak melaksanakan hukuman dengan tegas dan sentiasa mengikut kehendak dependen yang sememangnya suka putar belit dan cuba memperlambatkan jatuh hukuman ke atasnya.

“Pada pandangan saya jika mahkamah syariah lebih tegas tentu tidak ada masalah besar dihadapi oleh ibu tunggal. Apa yang berlaku sekarang kerana mahkamah sendiri memperlambatkan tindakan, hukuman dan tidak tegas dalam melaksanakan perintah.’’ Demikian pandangan beliau mengikut pengalamannya sendiri. Juga pandangan dari ibu tunggal yang masih gagal kerana kes mereka masih tergantung di mahkamah syariah.