Sebahagian daripada pengembara yang tiba di pintu masuk utama negara sempena pembukaan semula sempadan negara bermula hari ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). GAMBAR: Abd Razak Aid

MALAYSIA menggugurkan keperluan pengujian pengesanan COVID-19 sebelum berlepas dan semasa tiba di negara ini bagi tiga kumpulan pengembara. 

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, protokol terkini itu melibatkan pengembara berusia 18 tahun ke atas yang telah lengkap vaksinasi dan pengembara berusia 17 tahun ke bawah tanpa mengira status vaksinasi. 

Menurut Khairy, ketetapan yang berkuat kuasa hari ini itu juga melibatkan pengembara yang mempunyai sejarah jangkitan COVID-19 dalam tempoh enam ke 60 hari dari tarikh sembuh sebelum berlepas ke Malaysia tanpa mengira status vaksinasi. 

Khairy turut memaklumkan, tiga kumpulan pengembara itu juga tidak perlu menjalani kuarantin. 

“Kementerian Kesihatan (KKM) ingin memaklumkan protokol terkini ujian pengesan COVID-19 bagi pengembara warganegara dan bukan warganegara yang baru tiba di Malaysia. 

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin GAMBAR: Abd Razak Aid

“Mana-mana pengembara yang dikesan bergejala semasa berada di pintu masuk antarabangsa (PMA) akan diarahkan menjalani ujian saringan COVID-19 menggunakan RTK antigen dengan penyeliaan pengamal perubatan sama ada secara fizikal atau virtual.

“Semua pengembara masih perlu mengemukakan ‘Kad Pengembara’ yang dipaparkan dalam aplikasi MySejahtera semasa ketibaan di PMA,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Baca artikel berkaitan: Selamat tinggal pelitup muka, MySejahtera bermula 1 Mei

Bagaimanapun, Khairy memaklumkan, pengembara berusia 18 tahun ke atas dengan status vaksinasi tidak lengkap atau belum menerima vaksin perlu melakukan beberapa perkara. 

Katanya, ia termasuk melakukan ujian pra-pelepasan dua hari sebelum berlepas ke Malaysia di samping menjalani ujian pengesanan COVID-19 dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan menggunakan RTK Antigen dengan penyeliaan pengamal perubatan swasta yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC). 

Beliau berkata, sekiranya keputusan negatif, pengembara perlu menjalani kuarantin wajib selama lima hari di tempat penginapan termasuk rumah. 

Selain itu, Khairty memaklumkan, pengembara itu dikehendaki menjalani RT-PCR pada hari keempat atau RTK Antigen dengan penyeliaan pengamal perubatan swasta yang berdaftar dengan MMC pada hari kelima. 

“Pelepasan kuarantin pada hari kelima boleh diberikan jika keputusan ujian RT-PCR hari keempat atau RTK Antigen pada hari kelima adalah negatif. 

“Sekiranya keputusan positif, pada mana-mana situasi, pengembara akan diuruskan mengikut pengurusan kes positif sedia ada,” jelas beliau. 

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram