sunnah salam cium tangan

Alhamdulillah, untuk SOP kali ini sambutan Hari Raya Aidilfitri, kita sudah dibenarkan untuk saling bersalam-salaman, namun masih perlu menjaga keselamatan dengan mencuci tangan atau menggunakan pembasmi kuman.

Masih ingat lagi sebelum covid 19 saat melawat atau berkunjung bertemu saudara mara atau teman taulan ibu dan ayah, pantang sekali jika ada anak-anak yang tidak bersalaman. Bagi mereka, bersalaman itu menjadi satu kewajipan untuk mengajar anak-anak supaya menghormati orang yang lebih tua. 

Hari ini, amalan itu masih berterusan dan kini diperturunkan secara ‘warisan yang wajib dipatuhi’. Lebih-lebih lagi pada hari raya, amalan bersalam itu menjadi satu kemestian,  sekalipun tujuannya bukanlah untuk mendapatkan duit raya! Dan anak-anak pula akur tanpa perlu bersoal jawab. 

Persoalannya kini, apakah amalan bersalam-salaman itu menepati dengan syariat Islam?  Atau ia hanyalah sekadar budaya mahupun adat bagi sesuatu bangsa atau kaum? Dan sekiranya bersalam itu merupakan sunah, bagaimana cara yang sebetulnya? Perlukah sehingga mencium tangan atau sekadar dua tangan saling bersambut?

Menjawab persoalan ini,Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor  Dr. Siti Rugayah Tibek menjelaskan, bersalam atau berjabat tangan memang terdapat dalam syariat Islam sebagai tanda persahabatan, mahupun kasih sayang. Namun tidak pernah tertulis dalam mana-mana hadis yang menyatakan ketika bersalam perlu disertakan dengan mencium tangan orang yang disalami.

Dari sudut budaya Melayu, bersalam sambil mencium tangan bertujuan mengeratkan lagi tali persaudaraan dan perasaan kasih sayang. Bahkan bukan itu sahaja, faktor usia juga memainkan peranan sebagai petunjuk, bila masa seseorang itu perlu mencium tangan atau tidak.

Merujuk kepada amalan Rasulullah s.a.w, Baginda sendiri tidak pernah diriwayatkan oleh mana-mana para sahabat, bahawa Baginda mencium tangan tatkala berjabat tangan. Namun sebaliknya, para sahabat pula yang mencium tangan Baginda dan Baginda tidak pun menghalangnya.  

Yang pasti amalan sedemikian tidak salah sekiranya dilakukan. Tiada hukum yang mengatakan salam cium tangan itu berdosa. Tetapi jika bersalam-salaman itu melibatkan  bukan mahram atau dalam keadaan-keadaan tertentu, maka ia boleh jatuh hukum haram.  

Budaya bersalam juga bukanlah budaya dari masyarakat Mekah ataupun Madinah. Tetapi sebenarnya ia merupakan adaptasi dari budaya Yaman. Hal ini dikuatkan lagi dengan hadis dari Anas r.a. yang menyatakan, sekelompok orang negeri Yaman mendatangi Rasulullah s.a.w dan mereka saling berjabat tangan dengan kaum Muslimin.

“Rasulullah bersabda, “Kini telah datang penduduk kota Yaman dan merekalah orang-orang yang pertama kali datang dengan berjabat tangan”,  ujar  Dr.  Rugayah. 

Cetus Perasaan Riak?

Di dalam Islam lebih afdal sekiranya bersalam disertakan dengan ucapan salam (Assalamualaikum) di mana ia secara tidak langsung mendoakan kesejahteraan seseorang. Malah disarankan juga agar memandang wajah orang yang disalami bukan mencium tangan orang tersebut.

Bukan itu sahaja, bersalam perlulah dilakukan di awal pertemuan sebagai tanda persaudaraan sesama Islam dan juga perkenalan. Namun tidak salah jika bersalam juga  dilakukan sekali lagi ketika hendak berpisah sebagai tanda hormat dan memberitahu kepada tuan rumah serta tetamu yang hadir tentang kepulangan kita.

Namun awas! Ada ketikanya bersalam-salaman itu boleh menyebabkan wujudnya perasaan riak dan bangga. Sekali gus seseorang akan merasakan dirinya disanjung dan dihormati. Dan keadaan seperti inilah yang dilarang dalam Islam sekalipun pada asasnya, bersalam-salaman itu bertujuan sebagai salah satu cara  seseorang menunjukkan tanda hormat, saling berkasih sayang dan juga memohon kemaafan.    

Bukan bermaksud langsung tidak boleh mencium tangan, tetapi perlulah dengan orang yang betul. Seelok-eloknya bersalam cium tangan hanya dilakukan kepada ibu bapa atau pasangan yang mahram sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang. Wallahu a’lam     

_______________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare