SABAN tahun, jumlah persalinan raya Che Ta atau nama penuhnya, Rozita Che Wan sering mencuri perhatian.

Malah, kisah itu turut diperdebatkan hingga mengundang kecaman warganet.

Cuma beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk mengharungi era pandemik COVID-19, ibu kepada tiga cahaya mata itu lebih selesa tidak mendedahkan jumlah persalinan raya tahun ini.

“Saya tak nak cakaplah berapa pasang baju raya tahun ini. Tak cakap salah, cakap pun salah.

“Kalau nak kira juga, kenalah intai entri gambar di akaun Instagram (IG) saya ketika musim raya nanti. Bukan Che Ta, kalau tak penuh IG dengan gambar sesi fotografi bersama keluarga.

“Malah baju raya sebelum ini pun, ada yang di bawa ke hadapan. Maklumlah situasi pandemik dua tahun lalu membataskan pergerakan. Nak melaram pun tak boleh sangat,” katanya kepada URTV..

Kebiasaannya, pemenang Most Inspirational Celebrity, Women Of Excellence Awards ini akan menyiapkan persiapan persalinan baju raya untuknya dan keluarga lebih awal.

“Buat awal, tak kalut. Jadi bulan Ramadan boleh fokus dengan amal ibadat. Pendek kata, baju, kain samping, butang baju Melayu anak dan suami pun sudah disediakan. Pemilihan beraya dengan baju warna sedondon itu pun harus.

“Cuma selepas dua tahun beraya dengan norma baharu, saya tetap membataskan pelbagai aspek. Cukup beraya dengan keluarga dan adik beradik lain.

“Insya-Allah tahun ini, semua adik beradik sepakat beraya di Alor Setar, Kedah. Saya pun pulang awal ke kampung dari 1 hingga 8 Mei lalu kerana komitmen seni dan lain sudah dilunaskan awal,” ujarnya.

Sementara itu, keterujaan Che Ta menyambut Lebaran pada tahun ini lebih berganda apabila rumah banglo yang dibelinya empat tahun lalu sudah siap beberapa hari sebelum Ramadan berlabuh.

“Selepas empat tahun termasuk COVID-19, pengubahsuaian rumah itu tergendala untuk disiapkan. Penantian itu bernoktah dan dapat masuk rumah baharu akhirnya.

“Cuma kerana sudah merancang awal balik beraya ke Kedah, jadi nak raya di rumah sendiri selepas itulah.

“Saya sudah mula pindahkan barang dari rumah lama ke kediaman baharu sedikit demi sedikit. Lepas beraya nanti mulalah ‘all out’ pindahkan barang,” katanya.

Ketika ini, Che Ta muncul dengan drama Mem & Bibik -Bibik di TV3 menerusi slot Azalea sejak 4 April lalu dan Kerana Dia Suka.

Drama komedi 20 episod arahan Wan Saiful Shahrizan itu turut dibintangi suaminya, Zain Saidin. Tak ketinggalan pelakon lain seperti Nabila Razali, Azza Elite, Aprena Manrose, Bell Ngasri, Lynnda Sharudin, Shakila Khoriri dan ramai lagi.

“Penggambaran drama itu sudah selesai pada 7 April lalu. Kini saya hanya ada komitmen rakaman program dekorasi, Mai Cheq Deko.

“Untuk program siaran TV Okey itu saya jadi hos. Ia diterbitkan sebanyak 13 episod,” katanya.

Dalam pada itu, entri IG Che Ta turut menarik perhatian apabila mengadakan sesi fotografi bertemakan songket tajaan @azie_couture bersama teman baiknya termasuk pereka fesyen Man Kajang.

Entri yang mengimbas kembali muka depan edisi bumper raya majalah hiburan suatu ketika itu dulu mencuri perhatian pengikut IGnya selain netizen.

Kata Che Ta, idea berkenaan dicetuskan salah seorang teman baik temannya iaitu Pakcik Airil Azrie yang juga pemilik syarikat fotografi terkenal, Blackpepper Production.

“Dulu masa zaman majalah hiburan mendominasi pasaran, edisi bumper raya sentiasa mencuri perhatian. Termasuklah majalah Media Hiburan dan URTV.

“Kalau tak beli, memang tak sah. Pembaca setia pun akan pastikan koleksi bumper raya wajib dibeli saban tahun. Saya tak terkecuali. Malah sempat memenuhi undangan teman wartawan tersayang untuk sesi fotografi isu berkenaan.

“Ibarat mana-mana artis yang berpeluang menghiasi muka depan bumper raya itu, dialah yang paling meletup di zaman berkenaan. Saya bersyukur sempat merasai momen itu. Sekarang apabila kuasa digital beraja, momen sebegitu tinggal kenangan,” katanya.