SALAH satu hidangan popular semasa tibanya sambutan Aidilfitri ialah ketupat. Punyalah popular ketupat ini kepada simbol perayaan umat Islam hingga ia bukan saja sebagai makanan, tetapi juga bentuknya juga dijadikan pelbagai perhiasan sebagai simbol perayaan umat Islam.

Ketupat dan masyarakat Melayu memang tidak dapat dipisahkan. Ia merupakan makanan berupa beras atau pulut yang dibungkus dalam daun kelapa atau daun palas yang dianyam sebelum direbus dan dimakan bersama lauk pauk.

Tahukah anda bagaimana asal usul ketupat ini?

Ketupat antara makanan popular di nusantara merangkumi Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura sehinggalah ke selatan Thailand.

Dikatakan asal usul ketupat ini bermula di tanah Jawa setelah kedatangan Islam. Ia diperkenalkan oleh Sunan Kalijaga (salah seorang Wali Songo) kepada masyarakat Jawa.

Berbeza dengan sekarang di mana kita menyediakan ketupat sebelum tiba hari raya, sejarah ketupat memperlihatkan ia diperkenalkan Sunan Kalijaga sebagai hidangan seminggu selepas hari raya, iaitu pada hari yang dikenali sebagai ‘Bakda Lebaran’ dan ‘Bakda Kupat’.

Bakda Kupat bermaksud seminggu sesudah lebaran. Pada hari tersebut, orang Jawa akan menganyam ketupat dan diberi kepada orang yang lebih tua sebagai simbol menghormati dan jalinan silaturahim dalam hidup bermasyarakat.

Bukan itu saja, anyaman ketupat itu juga mempunyai simbolik tersendiri dengan makna tersirat. Kesalahan dan dosa manusia digambarkan melalui anyaman daun ketupat, manakala isinya (nasi atau pulut) yang berwarna putih melambangkan kebersihan dan kesucian hati memohon keampunan.

Mengikut kajian, terdapat beribu anyaman ketupat. Selain ketupat berbentuk segi empat dan segi tiga yang biasa kita lihat di Malaysia, terdapat juga anyaman ketupat jantung, ketupat bawang, ketupat kotak dan juga beraneka bentuk lain.

Dalam tradisi masyarakat Jawa, ketupat berbentuk segi empat dipanggil ‘laku papat’ yang bermaksud empat tindakan yang diperkenalkan Sunan Bonang. Empat tindakan itu ialah lebaran, luberan, leburan dan laburan.

‘Lebaran’ diambil dari kata ‘lebar’ yang bermaksud selesai. Ia menggambarkan 1 Syawal menandakan selesainya ibadah puasa. ‘Luberan’ pula bermaksud melimpah, simbolik tumpahnya air dari tempayan, sama seperti pengisian beras ke dalam ketupat yang melimpah keluar. Ia membawa maksud untuk berzakat atau bersedekah kepada golongan fakir miskin.

‘Leburan’ pula bermaksud segala kesalahan dapat dileburkan atau dimaafkan pada hari mulia tersebut. Manakala ‘laburan’ adalah dari perkataan ‘labur’ iaitu sejenis bahan untuk memutihkan dinding. Sifat bahan ini yang berwarna putih dikaitkan dengan simbol supaya sentiasa menjaga kebersihan diri zahir dan batin daripada segi amalan.

Nampak tak, betapa ketupat itu bukan sekadar makanan tetapi mengandungi banyak simbolik dan pesanan yang tersirat di dalamnya dalam menjalani kehidupan agar selari dengan tuntutan agama.

Selamat menikmati juadah ketupat, salam Aidilfitri kami ucapkan buat pembaca semua.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/