PEMBALASAN dendam, pengkhianatan, perhubungan kekeluargaan serta persahabatan merupakan titik utama yang diketengahkan dalam penceritaan drama sekuel kedua keluaran Astro Ria iaitu Scammer 2.

Drama terbitan Radius One Sdn. Bhd., dan arahan Norhanisham Labu Ahmad itu mengangkat barisan pelakon-pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Farah Nabilah, Zahiril Adzim dan Diva Azwan Ali.

Drama ini turut memaparkan pelakon Sharifah Sofia yang kini membuat ‘comeback’ di kaca televisyen. Pasti ramai merindui Sofia yang pernah berlakon drama Astana Idaman pada musim pertama.

Menerusi Scammer 2, watak Sofia dimasukkan ke penjara setelah aktiviti scam yang dijalaninya terkantoi. Sofia merupakan antara scammer terbesar di Malaysia.
Wanita ini ingin keluar dari penjara dengan meminta bantuan Muna, rakan scammernya. Muna mengupah Taqriz sebagai peguam untuk melepaskan Sofia dari penjara tanpa sedar yang Taqriz sedang memanipulasi Muna dan Sofia untuk membalas dendam atas kematian ayahnya yang menjadi mangsa scam Muna dahulu. Apakah yang akan terjadi kepada Sofia setelah dikeluarkan oleh Taqriz daripada penjara? Pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimanakah watak Taqriz dan Sofia akan membuat plot drama ini lebih menarik.

Keunikan watak Sofia ini menarik perhatian pelakon wanita kacukan Inggeris-Melayu setelah sekian lama tidak muncul di kaca televisyen.

Menurut Sofia, dahulunya dia pernah mendapat watak jahat yang seakan-akan nakal, kali ini dia dapat menunjukkan sisi yang berbeza kerana watak jahatnya adalah lebih ganas dan serupa seorang gangster.

“Bukan tak biasa pegang watak jahat tapi kali ini kita bertudung dan meringkuk di dalam penjara. Dulunya watak jahat Sofia seakan-akan nakal, tetapi sekarang watak jahat ini seakan-akan gangster dan ganas.

“Watak Sofia dalam drama ini merupakan salah seorang antagonis. Waktu saya menerima tawaran ini, saya pun tidak begitu jelas dengan karakternya tetapi bila sudah sampai di lokasi penggambaran, saya berasa seronok kerana dapat bekerja dengan Encik Labu, pengarahnya dan juga Beto yang memainkan watak utama dalam drama ini.

“Kadang-kadang watak ini membuat saya berasa nak cuba buat latihan combat pula,” katanya kepada URTV.

Pembabitan Sofia dalam drama ini bagaikan tidak diduga kerana tawaran diberikan pada saat-saat akhir yang mengujakannya.

“Scammer 2 kali ini memang datang pada saat akhir sangat. Hari ini saya dapat panggilan, esok mereka sudah panggil untuk mulakan penggambaran.

“Alhamdulillah, ketika itu saya memang tidak sibuk sangat jadi saya pun terima sahaja tawarannya.

“Lagipun, saya memang sudah mengetahui tentang drama ini daripada musim pertamanya.

“Cuma kali ini saya tidak tahu yang barisan pelakon-pelakonnya pun ditukar. Walau bagaimanapun, saya masih seronok bekerja dengan geng-geng Scammer 2 kali ini,” kongsinya.

Penceritaan menerusi 24 episod ini memaparkan sisi-sisi tersembunyi Sharifah Sofia yang diteguni ramai oleh kerana bakatnya yang belum pernah dilihat oleh netizen.

Pembabitan Sofia dalam Scammer 2 juga meraih respons serta keterujaan penonton selepas kemunculan semula di kaca televisyen setelah melihat lakonan-lakonannya yang hebat dalam drama sebelumnya, lebih-lebih lagi dengan perwatakannya yang gelap dan sinis dalam drama ini.

Ketika ditanya mengapa lama tidak berlakon, Sharifah Sofia berkata, “Sebenarnya, bermula daripada Covid-19 lagi saya sudah mula mengambil tawaran berlakon balik.
“Mungkin tidak ramai yang perasan kerana kebanyakan cerita yang saya lakonkan masih lagi belum disiarkan di kaca televisyen,” tuturnya.

Menerusi drama ini, Sharifah Sofia juga dapat belajar pelbagai teknik lakonan daripada Norhanisham “Labu” dan juga barisan pelakon-pelakon yang lain.

Katanya, dia berharap kemunculannya semula di kaca televisyen menerusi drama ini dapat diterima oleh orang ramai kerana sekuel Scammer 2 ini mempunyai penceritaan yang berbeza dengan ‘Scammer 1’.

“Penonton perlu tengok dan fahami isi-isi tersirat dalam drama ini termasuklah karakter-karakter dan dialognya.

“Penonton juga boleh ikuti kami di media sosial. Bukan kerana drama ini memerlukan fikiran yang banyak, tetapi kerana jalan penceritaannya memang diperlukan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai.”

“Zaman sekarang ini, manusia mudah discam, daripada orang buta jual tisu di tepi jalan sampailah orang-orang yang kononnya beriman. Scammer-scammer ini berada di mana-mana sahaja”, kata ibu kepada dua orang anak ini.

Scammer 2 ditayangkan pada setiap Isnin hingga Khamis, jam 11.00 malam mulai 18 April secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.