Bomba Sebana Cove menangkap seekor buaya berukuran 4.6 meter yang berada di tengah jalan di Jalan Tiong Nam, Jalan Bypass Rapid Pengerang, tengah malam tadi./Gambar Ihsan Bomba

JABATAN Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor menangkap seekor buaya dengan ukuran panjang 4.6 meter yang berada di tengah jalan di Jalan Tiong Nam, Jalan Bypass Rapid Pengerang, tengah malam tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sebana Cove, Penolong Penguasa Bomba Mohd Khairul Sufian Dahari berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira 12 tengah malam.

Beliau berkata, dua jentera dari BBP Sebana Cove dan Sungai Rengit dengan 16 anggota dihantar ke tempat kejadian.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar terdapat seekor buaya berukuran panjang 15 kaki (4.6m) di tengah jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca: Dah tak ada kerja lain.., buaya pun ditunggang macam papan luncur

Menurutnya buaya itu kemudian diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

Operasi berkenaan ditamatkan kira-kira 1.40 pagi.

— BERNAMA