puasa enam sepanjang tahun

Puasa sunat Syawal sememangnya amat popular di kalangan masyarakat kita hari ini. Ia dilakukan setelah selesai kita menjalani ibadah puasa dalam bulan Ramadan. Ibadah ini dilakukan bertitik tolak dari hadis Baginda s.a.w. yang menceritakan tentang kelebihan bagi sesiapa yang menambah enam hari berpuasa dalam bulan Syawal seusai bulan Ramadan.

Daripada Abu Ayub r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan, kemudian mengiringinya dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal, pahalanya seperti berpuasa sepanjang tahun.” (HR Muslim)

Hadis ini diperkuatkan lagi dengan hadis dari Tsauban, bahawa Baginda s.a.w. bersabda,

“Berpuasa sebulan (di bulan Ramadan itu disamakan) dengan sepuluh bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (bulan Syawal disamakan) dengan dua bulan berpuasa. Yang demikian itu, jika dicampurkan menjadi genap setahun.” (HR Imam al-Darimi).

Penegasan Baginda s.a.w. itu menunjukkan puasa enam amat digalakkan, walaupun ia tidak sampai kepada tahap wajib. Ia bertujuan agar umatnya rajin melakukan ibadat wajib dan disusuli dengan sunat. Ia juga sebagai satu bentuk penanda aras bagi melihat keimanan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T. yang sanggup menahan lapar dan dahaga, ketika musim orang menikmati aneka juadah.

Satu Jadi Sepuluh

Indahnya Islam, setiap satu amalan yang dilakukan ikhlas semata-mata kerana Allah, maka ganjaran yang diberikan adalah sepuluh. Ini sebagaimana yang difirmankan Allah dalam surah al-An’am: 160,

Barangsiapa yang melakukan amal yang baik, maka baginya sepuluh ganda pahala amalnya.”

Dan ayat ini dikuatkan lagi dengan hadis dari Abu Hurairah r.a. Baginda s.a.w. bersabda,

“Allah Ta’ala berfirman (kepada malaikat pencatat amal) bila hamba Ku berniat melakukan perbuatan buruk maka janganlah kalian mencatat sebagai amalnya (perbuatan buruk). Jika dia telah mengerjakannya maka catatlah sebagai satu keburukan.

Dan bila hamba Ku berniat untuk melakukan perbuatan baik lalu tidak melaksanakannya, maka catatlah sebagai satu kebaikan. Dan jika ia melakukannya maka catatlah kebaikan itu dengan sepuluh kali ganda” (HR Muslim)

Kurniaan Allah ini sebagai satu bentuk manifestasi, betapa Allah begitu menyayangi hamba Nya. Ia juga merupakan motivasi yang indah, agar setiap hamba Nya beristiqomah melakukan kebaikan serta meninggalkan keburukan.

Inilah sifat ar-Rahman dan ar-Rahim Allah yang perlu dimanfaatkan oleh hamba Nya kerana Islam menganjurkan kepada umatnya untuk melakukan kebaikan dan kebajikan secara berterusan walaupun sedikit.

Justeru itu, bagi orang yang menambahkan puasanya kepada enam hari di dalam bulan Syawal, ia mendapat ganjaran pahala seolahnya berpuasa selama setahun. Ini disebabkan puasa sunat satu hari bersamaan dengan ganjaran pahala berpuasa sebanyak sepuluh hari.

Oleh itu, apabila cukup puasanya selama 30 hari dalam bulan Ramadan, ia menyamai dengan pahala berpuasa selama sepuluh bulan iaitu 300 hari dalam bulan Islam. Ditambah dengan enam hari di bulan Syawal, menjadikan ia berpuasa seakan-akan dua bulan yang menyamai pahala puasa 60 hari. Bukankah dalam setahun terdapat 360 hari bagi kiraan tahun hijri?

____________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare