SELIPAR apa yang popular disebut dari dulu sampai sekarang? Dah tentu ‘selipar Jepun’. Namanya pun sudah menggambarkan selipar yang mudah, tahan lasak dan senang dipakai.

Tahukah anda siapa yang cipta selipar Jepun ini? Adakah orang Jepun dan sebab itu diletakkan perkataan ‘Jepun’ di belakangnya?

Jika kita lihat sejarah berkaitan selipar, ia sangat panjang. Terdapat banyak bukti menunjukkan kewujudan selipar yang ada pada hari ini telah mula dihasilkan oleh kaum primitif.

Buktinya, antara sandal tertua di dunia yang diperbuat daripada kulit lembu telah ditemui di sebuah gua di Armenia. Ia masih berkeadaan baik, meskipun diyakini wujud kira-kira 3,500 Sebelum Masihi (SM).

Antara sandal tertua ditemui di Armenia.

Bagaimanapun, terdapat bukti lain menunjukkan bahawa penggunaan selipar sebenarnya lebih lama daripada tempoh tersebut.

Seorang Profesor Antropologi Fizik dari Universiti Washington di St. Louis, Erik Trinkaus, mempunyai teori bahawa selipar telah digunakan sejak sekitar 40,000 dan 26,000 tahun dahulu lagi. Ini berdasarkan penemuan bukti pada ketebalan tulang jari kaki kaum primitif seperti ibu jari kaki mengalami penyusutan atau menjadi nipis dan lebih pendek.

Jika ribuan tahun dahulu selipar sudah ada, bagaimana agaknya rupa alas kaki mereka?

Penggunaan selipar pada zaman dahulu sangat ringkas rekaannya. Kulit lembu dijadikan seperti ‘beg kaki’ untuk melindungi kaki daripada batu tajam, tusukan duri, cuaca panas dan sejuk ketika keluar memburu atau mencari perlindungan.

Bermula hanya dari ‘beg kaki’, selipar telah melalui satu fasa revolusi yang sangat panjang. Malah, fungsi pemakaian selipar juga turut berkembang. Bukan hanya untuk tujuan melindungi kaki, tapi juga sebagai pelengkap gaya dan lambang status sosio-ekonomi seseorang.

Daripada bukti yang ditemui, jelaslah peneroka selipar pertama bukanlah orang Jepun seperti mana nama popularnya. Tapi pelik, mengapa selipar itu diberi nama sedemikian?

Apa yang diketahui, selipar Jepun cuma nama popular yang diberi oleh rakyat Malaysia. Gelaran sebegitu sebenarnya tidak terdapat di negara lain. Ya, gelaran ‘selipar Jepun’ cuma ada di Malaysia saja.

Bahkan, penduduk negara Jepun sendiri tidak mengenali apa itu selipar Jepun. Mereka hanya mengenali selipar Jepun sebagai minuman ‘mix drink’ atau pun arak dicampur dengan manisan yang dipanggil sebagai Japanese Slipper.

Selipar Jepun yang wujud pada hari ini juga bukanlah dibawa masuk oleh askar Jepun semasa kedatangan mereka ke Tanah Melayu dahulu. Dipercayai pemakaian selipar yang mempunyai tali berbentuk V itu sudah lama digunakan oleh penduduk tempatan sebelum kedatangan Jepun ke Tanah Melayu lagi.

Mengapa ia dipanggil selipar Jepun? Dan hanya orang Malaysia saja yang menggelar selipar ini sebegitu.

Ketidakpastian mengenai perkara ini menyebabkan ada yang meletakkan beberapa teori kenapa alas kaki itu dipanggil selipar Jepun.

Perkara ini banyak dikaitkan dengan sejarah penjajahan Jepun di Tanah Melayu pada 8 Disember 1941. Sungguhpun Jepun menakluk Malaya hanya tiga tahun sembilan bulan, tetapi perubahan yang dibawa mereka memberi kesan mendalam pada nenek moyang terdahulu.

Pada zaman pemerintahan tentera Jepun, mereka dikatakan telah melakukan banyak kekerasan, menzalimi dan menyeksa penduduk kampung dengan cara yang amat menakutkan. Tapi agak pelik kerana kebanyakan kekerasan itu dilakukan dengan menggunakan selipar.

Antaranya, mereka sering menyeksa tahanan penjara dengan menampar muka mangsa menggunakan selipar. Bahan yang diperbuat daripada getah itu juga kerap dimasukkan ke mulut tahanan, lalu dipaksa mengigitnya sehingga gigi mangsa patah.

Kegiatan jahat tentera Jepun dikatakan tidak pernah diam. Jika tidak bertindak keras pada tahanan penjara, mereka gemar mengusik perempuan tempatan. Usikan itu selalunya akan berakhir dengan tindakan buas – merogol wanita tempatan dan memasukkan selipar ke kemaluan mangsa.

Perbuatan keras tentera Jepun menyebabkan hidup rakyat menjadi lebih tertekan. Kesengsaraan penduduk ditambah dengan keadaan ekonomi yang merosot, hasil pertanian pula  dirampas menyebabkan ramai menggangur dan mati kebuluran.

Saat itu, tiada yang berani mengadu lapar atau merayu bantuan makanan kepada tentera Jepun. Rayuan itu selalunya tidak diedahkan. Malah tentera Jepun akan memaksa si pengadu itu memasak selipar kemudian diarahkan memakannya.

Sewaktu zaman penjajahan Jepun dahulu, tentera Jepun sering menjadikan selipar sebagai alat siksaan mereka.

Kerana selipar sering dijadikan sebagai salah satu alat menyeksa penduduk, askar Jepun seolah-olah menganggap ia sebagai mesej penghinaan. Justeru, tiada seorang pun di kalangan tentera Jepun dilihat memakainya. Mereka lebih bangga menyarung kasut, apatah lagi harga sepatu pada masa itu sangat mahal. Penduduk kampung yang tidak memiliki wang dan hidup dalam kesempitan pula sekadar mampu memakai selipar buruk.

Kesan tindakan keras tentera Jepun menyebabkan penduduk kampung menjadi fobia terhadap selipar. Dari sinilah dikatakan kenapa orang terdahulu mula memanggil alas kaki itu dengan nama selipar Jepun.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/