MANTAN Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman membongkarkan kisah menarik dan eksklusif sepanjang mengetuai operasi pencarian pesawat MH370 yang terus kekal misteri sehingga kini.

Khidmatnya dalam sektor penerbangan selama 11 tahun terus di sanjung tinggi meskipun pencarian pesawat tersebut telah menemui titik noktah.

Ikuti wawancara UtusanTV bersama Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman, bagi merungkai kisah di sebalik operasi tragedi yang mendapat liputan dunia dan masih menjadi perhatian ramai sehingga kini.

UtusanTV: Apa pengalaman paling menarik yang Datuk Seri rasa wajar kongsikan kepada pembaca sepanjang menguruskan penyiasatan?

Datuk Seri Azharuddin: Banyak perkara menarik terjadi, antaranya seorang wartawan telah cuba masuk ke dalam bilik hotel. Selain itu, ada sebuah kejadian misteri yang berlaku selepas enam tahun tragedi kehilangan pesawat MH370. Saya menerima sebuah pakej misteri seminggu selepas hari kelahiran saya. Saya lihat pakej itu datang dari Belgium dan ingatkan ia di hantar oleh kawan saya yang menetap di sana. Apabila saya buka sahaja pakej itu, ada sebuah bagasi beg. Di dalam bagasi itu ada gambar seseorang dan tertulis “I was sent 5 years ago, please come and take me.”

Saya sudah syak sesuatu, dan terus rujuk senarai nama penumpang pesawat MH370. Benar tekaan saya itu dan rasa agak seram untuk buka beg tersebut. Jadi saya hubungi seorang rakan yang bekerja di Bukit Aman dan minta nasihat daripadanya. Rakan saya pesan untuk jangan buka beg tersebut dan dia akan menghantar kumpulan forensik. Apabila mereka buka beg itu, tiada apa-apa kecuali sekeping nota. Dua ke tiga hari kemudian, saya terima satu pesanan mesej dari “WhatsApp” dan sekeping nota yang sama. Saya khuatir dan terkejut bagaimana mereka boleh dapat alamat rumah dan nombor telefon sedangkan saya baru sahaja berpindah selepas bersara.

Baca artikel berkaitan: Episod 1 Penerbangan Terakhir MH370 & MH17 – Ulasan Datuk Seri Azharuddin

UtusanTV: Sejujurnya, Datuk Seri rasa MH370 ini boleh ditemui semula?


Datuk Seri Azharuddin: Memang harapan orang yang bekerja dalam dunia penerbangan ingin tahu ke mana hilangnya pesawat MH370. Setiap kemalangan pesawat ini perlu disiasat dengan teliti supaya kita tahu apa sebenarnya terjadi dan tidak mahu perkara yang sama berulang. Apa yang kami ketahui, pesawat MH370 ini sepatunya ke Beijing namun telah berpatah balik dan dikatakan tenggelam di Lautan Hindi. Kami mahu tahu mengapa pesawat telah berpatah balik dan apa sebenarnya yang berlaku. Sebanyak 26 buah negara, 82 buah pesawat serta 84 kapal digunakan untuk mencari pesawat MH370.

UtusanTV: Kenapa orang ramai kena beli buku Datuk Seri?


Datuk Seri Azharuddin: Buku ini adalah perjalanan karier semenjak sekolah lagi dan saya sangat suka dengan dunia penerbangan. Kaedah atau operasi penerbangan awam ini perlu mengikut perundangan supaya penerbangan dilakukan dengan terkawal dan penumpang dapat sampai ke destinasi dengan selamat. Itu adalah matlamat penerbangan awam dan perkara ini telah dipersetujui oleh pakar-pakar yang mengatakan penerbangan adalah pengangkutan yang paling selamat sekarang ini. Saya juga menulis tentang impak kedua-dua insiden ini kepada penerbangan di dunia dan Malaysia Airlines serta keluarga saya. Selain itu, tentang pencapaian yang saya terima untuk DCA serta perkara yang perlu dinaik taraf sebagai badan berkanun kerajaan untuk lebih efisien dengan dianggotai oleh pegawai bertauliah serta berpengalaman seterusnya menerajui bidang penerbangan awam ke tahap yang lebih tinggi.

UtusanTV: Apa harapan Datuk Seri kepada Malaysia Airlines dan sektor penerbangan Malaysia?


Datuk Seri Azharuddin: Malaysia Airlines ialah sebuah syarikat penerbangan yang membawa bendera Malaysia. Saya harap Malaysia Airlines dapat kembali gemilang seperti pada tahun 80-an dan terus disegani oleh syarikat lain. Selain itu turut berharap sektor penerbangan awam terus disukai ramai atas faktor keselamatan, penyelenggaraan, pembuatan dan lapangan terbang. Semua perlu ketahui bahawa sektor ini amat mementingkan keselamatan buat penumpang.

UtusanTV: Apa pesanan terakhir Datuk Seri?


Datuk Seri Azharuddin: Pesanan saya, kita tidak boleh membuat sebarang spekulasi kerana seperti diketahui, MH370 belum dijumpai dan kami memang berharap dapat ditemukan. Spekulasi ini tidak memberi sebarang faedah dan hanyalah menghiris hati waris-waris mangsa. Bagi membongkar perkara sebenar yang berlaku, kita perlu menemui pesawat tersebut dan mendapatkan kotak hitam.

Nota kaki: Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman merupakan penulis buku Penerbangan Terakhir: MH370 & MH17. Beliau pernah memegang jawatan Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pada Oktober 2007 sebelum mengumumkan persaraan pada tahun 2018.

Selain itu, beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Bahagian Airworthiness pada tahun 2004 sehingga 2006. Malah, turut dilantik sebagai Pengarah Operasi Airworthiness dan Operasi Penerbangan pada tahun 2006 hingga 2007.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram