KATAK merupakan haiwan yang mudah kita temui di mana-mana saja. Terdapat banyak spesies katak, namun yang paling unik adalah spesis Katak Kayu Alaska ini yang mampu ‘mematikan’ diri sewaktu musim sejuk.

Kebolehan katak ini dikatakan paling menakjubkan kerana mampu bertahan di bawah suhu paling ekstrem sebelum bertindak membekukan diri sendiri.

Katak Kayu Alaska banyak hidup di dalam hutan yang terbentang dari bahagian utara Alaska hingga sepanjang jalan melalui Kanada dan Lingkaran Artik. Hutan ini dikatakan mempunyai julat suhu paling dramatik di dunia. Pada musim panas, suhunya boleh melebihi 32 darjah selsius. Ketika musim sejuk pula, suhunya antara yang paling sejuk di dunia, bahkan pernah mencecah sehingga -10 darjah selsius.

Prospect Creek, berdekatan Lingkaran Artik, antara lokasi yang mempunyai suhu paling sejuk pernah tercatat di Alaska, iaitu melebihi -27 darjah selsius. Berhampiran kawasan inilah dikatakan terdapat banyak Katak Kayu Alaska yang mampu berhibernasi untuk membolehkannya terus hidup dalam cuaca sejuk yang ekstrem.

Spesies Katak Kayu Alaska mampu berhibernasi untuk hidup dalam musim sejuk ekstrem.

Dalam kemandiriannya untuk terus hidup, Katak Kayu Alaska akan berperangai aneh sebaik tiba musim sejuk. Biasanya setiap tahun pada bulan September, katak ini akan mula membekukan diri sendiri. Dalam fasa itu, lebih 60 peratus daripada bahagian tubuhnya dibiarkan membeku dan bertukar menjadi ais.

Paling pelik, katak ini cuba mematikan dirinya – mula tidak bernafas, jantung berhenti berdegup dan paru-paru berhenti bekerja. Malah dalam tempoh berhibernasi, proses fizikal seperti aktiviti metabolik dan pengeluaran sisa turut sama terhenti.

Don Larson, seorang pengkaji dari University of Alaska yang mengkaji tentang Katak Kayu Alaska memberitahu, walaupun katak ini pada dasarnya mati, sel-sel ‘mereka’ masih tetap berfungsi. Cuma apabila dalam keadaan beku, haiwan tersebut jadi pasif sehingga tidak tahu bagaimana untuk berkomunikasi antara satu sama lain.

Sepanjang berhibernasi, katak itu juga didapati tidak bergerak sekalipun disentuh atau diambil. Bahkan, jika anda cuba-cuba untuk membengkokkan salah satu kakinya, ada kebarangkalian bahagian itu boleh patah.

Pada dasarnya katak ini seperti sudah mati, tetapi sel-sel mereka sebenarnya masih berfungsi.

Brian Barnes, Pengarah The Institute of Arctic Biology di University of Alaska, memberitahu bahawa beberapa kajian menunjukkan katak ini boleh membeku selama beberapa minggu. Kemampuan katak ini jauh lebih hebat daripada katak lain kerana ia berupaya untuk bertoleransi dalam suhu sejuk melampau.

Dalam Journal of Experimental Biology terbitan Ogos 2013 turut menjelaskan bagaimana katak kayu mampu hidup dalam musim sejuk yang panjang di Alaska. Haiwan bersaiz tapak tangan ini memiliki keupayaan berbuat demikian lebih menakjubkan daripada apa yang kita fikirkan terutama di peringkat fisiologi dan kimia.

Dalam kajian yang dijalankan, pengkaji melekatkan beberapa pemancar radio kecil pada belakang badan 16 ekor Katak Kayu Alaska. Alat itu ditanggalkan selepas lebih dua tahun tempoh kajian.

Menerusi alat pemancar, penyelidik berjaya mengesan lokasi katak berhibernasi. Daripada dapatan menunjukkan, haiwan tersebut rupanya banyak menghabiskan musim sejuk di dalam timbunan daun kering berhampiran tasik atau kolam, iaitu di bawah suhu beku -9 darjah selsius hingga -18 darjah selsius.

Luar biasa sekali, ia mampu bertahan dalam keadaan beku itu selama berbulan-bulan lamanya seperti mati suri. Dan hanya akan cair atau hidup semula selepas tujuh bulan berlalu iaitu sebaik sahaja masuk musim bunga.

Sebaik mencair, spesies katak yang mempunyai jangka hayat empat hingga enam tahun ini akan tergesa-gesa melompat ke kolam atau tasik berdekatan untuk mengawan. Bukan gelojoh, tapi ‘mereka’ sebenarnya tidak punya masa yang banyak . Ini kerana katak ini ada masa hanya lima bulan untuk mengawan termasuj ‘menghasilkan’ anak dan mengumpulkan bekalan makanan sebelum proses pembekuan bermula lagi.

Katak Kayu Alaska.

Menerusi kajian yang dijalankan sebelum ini, pengkaji berjaya mengenal pasti bagaimana proses membeku atau fenomena mati suri itu boleh terjadi. Rahsianya ialah kepekatan cryoprotectants yang tinggi dalam tisu katak kayu.

Cryoprotectants ialah bahan larut termasuk glukosa dan urea yang merendahkan suhu pembekuan tisu haiwan ini. Peningkatan paras cryoprotectants didapati membantu sel-sel katak untuk terus hidup.

Dalam kebanyakan haiwan, pendedahan kepada suhu di bawah takat beku dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan pengecutan sel. Semasa proses ini, air dari sel-sel badan akan ditarik untuk membentuk ais, dihisap sampai kering hingga akhirnya membunuh sel. Akan tetapi, kehadiran cryoprotectants dalam tisu katak kayu telah membantu sel-sel menentang proses pengecutan.

Keupayaan katak kayu membekukan diri tanpa merosakkan sel-sel dan organ-organnya telah membantu penyelidik untuk memahami implikasi mekanisme itu apabila digunakan dalam pemindahan organ. Andai dapat direalisasikan, ia merupakan satu kejayaan paling besar.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/